suria

Impian rai ulang tahun perkahwinan ke-30 tak kesampaian, AR Rahman dan Saira Banu umum berpisah

Rahman dan Saira (kiri) membuat keputusan untuk berpisah selepas 29 tahun berkahwin.

PENYANYI dan komposer terkenal AR Rahman dan isteri Saira Banu mengejutkan peminat apabila mengumumkan perpisahan mereka selepas hampir tiga dekad hidup sebagai suami isteri.

Hindustan Times melaporkan ketegangan emosi berpanjangan dalam perkahwinan menjadi faktor utama mereka mengambil keputusan membawa haluan masing-masing.

Saira, 51, menerusi peguamnya iaitu Vandana Shah memberitahu tidak mudah bagi pasangan tersebut membuat keputusan tersebut dan meminta peminat menghormati privasi mereka ketika ini.

ar2 - 1

Rahman dan isteri mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

"Keputusan berpisah dibuat dengan penuh rasa sakit dan keperitan apatah lagi mereka sudah melayari bahtera perkahwinan hampir 30 tahun.

"Pasangan ini hanya memohon diberi ruang privasi untuk mereka melalui tempoh sukar ini," katanya.

Dalam pada itu, menerusi ciapan yang dimuat naik di laman X, Rahman, 57, memberitahu dia berharap untuk menyambut ulang tahun perkahwinan ke-30 namun tidak kesampaian.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama A.R Rahman terus dijulang!

ARTIKEL BERKAITAN: Pertembungan konsert AR Rahman tak halang 5,000 peminat hadir Seen Festival, puas dapat tonton NCT Dream, ALICE depan mata

Komposer itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang selama ini memberikan sokongan dan menghormati privasi mereka suami isteri.

"Kami berharap untuk mencapai usia perkahwinan yang ke-30 tetapi nampaknya ia terarah kepada penghujungnya.

"Kepada rakan-rakan kami, terima kasih atas kebaikan anda kerana menghormati privasi kami sewaktu melalui situasi sukar ini," katanya.

Untuk rekod, Rahman dan Saira berkahwin pada 1995 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Khatija, Raheema dan Ameen.

Perkahwinan mereka diatur oleh ibu Rahman yang diamanahkan untuk mencari pasangan untuk penyanyi berkenaan sewaktu dia berada di kemuncak kerjayanya sebagai komposer.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!