PELAKON Kim Soo Hyun secara terbuka menafikan dakwaan dia pernah bercinta dengan mendiang Kim Sae Ron ketika aktres berkenaan masih di bawah umur.
Menerusi sidang media yang diadakan di Hotel Stanford, Seoul, Korea Selatan, Soo Hyun memberitahu dia dan Sae Ron menjalin hubungan cinta selama setahun pada 2020.
"Saya dan mendiang telah menjalin hubungan selama kira-kira setahun, lima tahun lalu iaitu empat tahun sebelum drama lakonan saya Queen of Tears disiarkan.
"Saya tidak bercinta semasa dia (Sae Ron) masih di bawah umur," katanya.
Soo Hyun menangis ketika sidang media berlangsung pada Isnin.
Dalam pada itu, Soo Hyun memberitahu dia pernah menafikan hubungan cinta dengan Sae Ron dan faham sekiranya orang ramai tidak percaya tentang kenyataan yang dibuat.
"Pada masa itu (2020) saya menafikan hubungan kami. Wajarlah jika netizen mahu mengkritik saya kerana itu, saya faham sekiranya mereka (netizen) tidak percaya apa yang saya katakan tentang hubungan kami.
"Kami adalah pasangan biasa seperti orang lain. Kami mempunyai perasaan antara satu sama lain dan akhirnya berpisah," ujarnya.
Aktor berkenaan bagaimanapun berkata, selepas memutuskan hubungan dengan Sae Ron, mereka tidak lagi sering berhubung.
ARTIKEL BERKAITAN: Mendiang Sulli dipaksa berbogel, keluarga desak Kim Soo Hyun tampil beri penjelasan
ARTIKEL BERKAITAN: Kim Soo Hyun saman keluarga Kim Sae Ron, bimbang lebih banyak gambar tersebar
"Selepas kami berpisah, kami jarang berhubung. Walaupun dia terlibat dalam insiden DUI, ia bukan mudah untuk dihubungi. Saya tahu dia sedang bercinta dengan lelaki lain ketika itu," jelasnya.
Ditanya tentang khabar angin kematian Sae Ron membabitkan dengan dirinya, Soo Hyun dengan tegas menyangkal dakwaan itu.
"Tidak benar sama sekali dia membuat pilihan tragis (bunuh diri) kerana saya atau berkaitan isu hutangnya dengan agensi saya," tegasnya.
Sepanjang sidang media itu berlangsung, Soo Hyun menangis dan mengakui kebimbangannya terhadap pendedahan kehidupan peribadinya yang dibongkar oleh saluran YouTube Ga Se Yeon.
"Saya selalu menganggap diri saya sebagai pengecut. Saya mengambil masa lama untuk membuat sidang media ini.
Foto mesra Soo Hyun dan Sae Ron sebelum ini tersebar di media sosial.
"Setiap kali kehidupan peribadi saya didedahkan, saya rasa seperti ingin memberitahu tentang segala-segalanya. Mari kita tamatkan sahaja situasi 'neraka' ini," katanya.
Isu melibatkan Soo Hyun kini hangat menjadi bualan selepas dia didakwa menjadi punca kematian Sae Ron.
Selain bercinta dengan gadis bawah umur, Soo Hyun juga dikatakan pernah mendesak Sae Ron untuk menjelaskan hutang sebanyak RM2.1 juta kepada syarikat pengurusannya.
Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan pada hari jadi ke-37 Soo Hyun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!