Zaibo bersyukur diberi peluang selama dua musim untuk menjadi juri Raja Lawak.TIDAK seperti sesetengah selebriti yang tidak tahu di mana titik noktah itu berakhir dan bila masa yang sesuai untuk 'angkat kaki' sebelum jemu menguasai penonton, ketua Juri Gelanggang Raja Lawak musim ketiga, Zaibo bulat hati tidak akan menerima tugas sebagai juri untuk tahun yang ketiga, seandainya ditawarkan lagi tahun hadapan.Seperti kata orang tua-tua, berhenti sebelum kenyang, Zaibo juga sependapat begitu. "Biarlah kita putus suap, janji kita jangan terlalu kenyang. Nanti makruh dan mudarat," jelas pelawak terkenal kelahiran Padang Besar, Perlis ini sarat berhemah. Dan apapun respon positif yang diterimanya dari peminat program Raja Lawak, Zaibo bersyukur sekurang-kurangnya dia diberi peluang menjadi juri selama dua musim. "Cukuplah dua musim saja saya jadi juri. Saya tidak mahu penonton bosan dengan saya. Saya selalu ingatkan diri saya, kalau di musim yang pertama orang mungkin suka tengok kita. "Tahun kedua, kita semakin selesa. Tapi bila masuk tahun ketiga, orang sudah boleh mencari kelemahan kita kerana semua orang punya kelemahan. "Eloklah saya berhenti setakat ini saja sementara rapo saya masih elok lagi," kata Zaibo yang mengesyorkan teman-teman seperjuangannya seperti Abon, Sabri Yunus dan Kartina Aziz untuk mengambil alih tugas juri untuk musim berikutnya. Gelanggang Raja Lawak musim ketiga melabuhkan tirainya minggu lalu dan bagi Zaibo, prestasi program pada musim ini dirasakan lebih meriah berbanding dengan musim lalu. Kata pelakon teater berusia 53 tahun ini, kemeriahan yang dirasai di dalam Dewan Sivik MPPJ hari Jumaat lalu, sudah cukup membuktikan yang program ini mendapat tempat di hati penonton. "Walaupun musim ini kita tidak dapat mencungkil bakat seperti Nabil, enthusiasmsemangat yang ditunjukkan oleh penonton setiap minggu tambahan pula di gelanggang akhir cukup memberangsangkan. Sesiapa yang berada di dalam Dewan Sivik PJ akan faham apa yang saya maksudkan. "Begitu gamat sorakan dan sokongan yang ditunjukkan. Bagi saya ini satu petanda baik walaupun saya berharap pihak Astro dapat memperbaikki kelemahan yang ada dalam program ini," kata Zaibo. Kata Zaibo, kalau boleh format yang digunapakai oleh Akademi Fantasia diserapkan dalam Raja Lawak di mana, misalnya, semua peserta diberi pendedahan tentang seni persembahan, lakonan dan penulisan skrip secara rambang, selama 1 minggu sekurang-kurangnya. "Ibarat satu crash course. Kita harus sedar semua peserta yang masuk Raja Lawak datang dari latarbelakang yang berbeza. Ada yang tidak pernah terdedah pada dunia pentas pun. "Mungkin pihak Astro dapat kerjasama dengan pihak ASWARA untuk memberi peserta Raja Lawak asas lakonan. Kita kena faham ada peserta yang masuk Raja Lawak kerana mereka rasa mereka berbakat, ada yang masuk kerana tuntutan glamor. "Dan ada tu, tak layak naik tangga pentas pun tetapi disebabkan keyakinan diri yang tinggi, mereka berada di atas pentas," kata pelakon teater yang disegani ini. "Kita tidak dapat membantu mereka seandainya mereka diserap bulat-bulat terus ke gelanggang dan harapkan juri jemputan untuk membantu atau memberi tip kepada mereka," kata pelawak, pengacara dan pelakon handal ini. Mungkin ramai yang tidak faham kriteria untuk menjadi seorang pelawak. Tiga perkara wajib perlu ada iaitu: bijak kumpul bahan, mengolah bahan dan mempersembahkan bahan itu. "Ketiga-tiga aspek ini hanya boleh dikutip apabila seseorang itu dapat menimba pengalaman dan ilmu dari penulisan skrip (cara mendapat pengalaman samada dari pengalaman sendiri atau pengamatan seharian), seni lakon atau persembahan dan bagaimana seseorang itu mengolah bahan yang ada padanya. "Setidak-tidaknya seorang peserta perlu ada basic knowledge tentang semua ini. Bila asas ini dicampur dengan bakat yang mereka ada, barulah persembahan mereka kukuh," jelas Zaibo yang akan dapat dilihat dalam 13 episod drama 'Aca Dan Atok' yang diinspirasikan dari kisah kartunis Ujang dari majalah Gila-gila. Ada orang mengatakan lawak tidak dapat diajar. "They say, you either have it or not....Samada seseorang itu berbakat atau tidak. Tapi kalau ada bakat tapi tak ada dorongan atau sokongan yang betul pun tak jadi juga," terang Zaibo yang kini sibuk membuat 'voice-over' untuk program masaknya 'Pelik Tapi Sedap' yang akan ke udara di RTM1 pada bulan Mei ini. Setelah dua musim Zaibo memegang amanah sebagai juri, kata pelakon yang dibesarkan di Alor Setar, Kedah ini, "sepatutnya tugas juri untuk memberi panduan kepada penonton peserta mana yang lebih berbakat." "Tapi nampaknya tak jalan juga. Itu kata kita. Pengundi pula mungkin beranggapan, duit aku, aku punya sukalah siapa aku nak undi..." Senario inilah yang banyak membantutkan sentimen juri yang seperti hilang semangat bila peserta yang tidak layak diundi sampai ke peringkat akhir.. "Semua itu akan terpahat dalam otak saya sampai bila-bila. Bila tirai Raja Lawak dilabuhkan, inilah antara kenangan manis yang akan buat saya tersenyum...melihat telatah peserta dan pengundi," jelas pelawak yang masih bujang ini penuh makna.