Muz mengamuk apabila mendapat tahu teman wanitanya, Tasha sanggup ditiduri musuhnya, AcaiPENULIS agak skeptikal dengan karya kedua Syamsul Yusof ini pada awalnya kerana merasakan filem berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini akan tampil dengan jalan cerita yang klise.Namun, setelah menonton prebiu filem tersebut baru-baru ini, ia nampaknya tidak menghampakan. Ada kelainan yang cuba ditampilkan oleh Shamsul di dalam filem yang mendapat klasifikasi 18 PL oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Meskipun ini bukanlah buah tangan terbaik Syamsul, namun penulis rasakan filem yang memaparkan kehidupan mat-mat rempit dan gejala bohsia ini ada kekuatan tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam bermula 23 April ini, apatah lagi menggunakan judul yang agak 'ekstrem'.Secara keseluruhannya, filem yang dibarisi pelakon-pelakon seperti Nabila Huda, Salina Saibi, Shamsul, Shaheizy Sam, Diana Daniell dan Aaron Aziz ini memaparkan garapan yang tidak mengecewakan.Jalan ceritanya 'simple', malah untuk mendalami lagi kehidupan mat rempit dan bohsia, pelakon-pelakonnya juga mengambil inisiatif mempelajari gaya pertuturan golongan ini.Memang sesetengah perkataan kedengaran agak 'kasar' dan adakalanya pelakon-pelakon itu bertutur seolah-olah menjerit sehingga membingitkan telinga, namun kata Shamsul, itu adalah antara 'style' sesetengah mat rempit dan bohsia.Secara ringkasnya, filem yang menelan belanja sekitar RM1.5 juta ini bermula dengan Amy (Salina) dan Tasya (Nabila) yang merupakan dua remaja liar dan terjebak dengan golongan mat rempit.Amy merupakan kekasih Acai (Shaheizy) manakala Tasya pula mempunyai teman lelaki bernama Muz (Shamsul). Acai dan Muz sering bermusuhan kerana ingin menunjukkan kehebatan mereka sebagai mat rempit. Kehidupan sosial mereka sukar dikawal.Muz bagaimanapun telah terpikat dengan Aisyah (Diana), seorang yang sofistikated dan bekerja pengarah projek. Aisyah adalah adik kepada Azam (Aaron) yang merupakan seorang bapa ayam, namun berjaya mengaburi mata adiknya melalui penampilan dan imej bersihnya.Pelbagai konflik mula timbul di kalangan mereka apabila Tasya yang kecewa dengan sikap Muz membalas dendam dengan merelakan diri ditiduri Acai dan gengnya manakala Amy pula berdepan dengan konflik apabila dipaksa Azam untuk menjadi pelacur di samping perlu berdepan dengan ayahnya Salleh, seorang kaki judi yang juga telah merogol Amy.Secara peribadi, penulis merasakan adegan 'daring' yang diselitkan di dalam filem ini adalah faktor yang 'kuat' untuk menarik perhatian ramai termasuklah juga mat-mat rempit untuk menyaksikan filem ini.Aksi Tasya yang berkemban dengan tuala, babaknya ditiduri Acai dan geng, serta aksi ghairah antara Amy dan Acai antara 'sajian' buat penonton-penonton filem ini kelak.Mungkin sesetengah penonton akan kurang selesa menyaksikan adegan 'panas' seperti ini, tetapi penulis tidak mahu komen panjang tentang aspek ini apatah lagi kerana ia sendiri diluluskan oleh LPF.Meskipun begitu, pujian ingin diberikan kepada Shaheizy Sam yang menampilkan lakonan cemerlang di dalam filem ini.Kemunculan pertamanya di layar perak memang cukup mengagumkan walaupun watak jahat yang dibawanya itu dilihat mempunyai sedikit persamaan dengan karektor jahat yang pernah dibawa oleh Zul Huzaimy.Penulis juga merasakan Syamsul telah berjaya lari daripada watak lelaki 'control macho' yang sering dibawanya di dalam drama-drama lakonannya sebelum ini.Membawa karektor mat rempit dan bekerja di bengkel motor adakalanya mencuit hati penonton terutamanya ketika adegan dia bergegas pulang dari tempat lepaknya semata-mata ingin ber'chatting' di Internet dan ketika dia menyamar sebagai arkitek sewaktu bertemu buat pertama kalinya dengan Aisyah.Cuma penulis merasakan watak Diana di dalam filem ini nampak seperti tidak 'kena'. Jika tidak ada watak tersebut pun rasanya tidak akan menjejas jalan cerita filem ini, apatah lagi watak Aisyah yang dibawanya itu dilihat 'biasa' saja.Atau mungkin juga Syamsul sanggup 'mewujudkan' watak tersebut kerana ingin aktres jelita yang ketika itu masih lagi merupakan teman wanitanya, untuk turut terbabit di dalam filem ini!Sejauhmana 'kuatnya' sambutan penonton terhadap filem ini, penulis sendiri sukar meramalkan. Namun, penulis tidak hairan jika Syamsul mampu mengulangi kejayaan seperti mana filem sulungnya, Evolusi KL Drift yang meraih kutipan sebanyak RM4.5 juta.