suria

Filem Syurga Cinta buat Hadziq takut tinggal solat

Pelakon cilik Muhamad Hadziq Hazem atau Hadziq
Pelakon cilik Muhamad Hadziq Hazem atau Hadziq
Pelakon cilik Muhamad Hadziq Hazem atau Hadziq

“SEBELUM ni saya tak solat, tapi lepas tengok filem Syurga Cinta saya solat kerana takut masuk Neraka,” akui pelakon cilik Muhamad Hadziq Hazem atau Hadziq, 9.

Begitu besarnya moral yang diambil oleh Hadziq selepas berlakon dan menonton filem arahan pengarah terkenal Ahmad Idham itu.

Ternyata filem ini memang sarat dengan pengajaran yang secara tidak langsung mampu membentuk fikiran kanak-kanak seperti Hadziq untuk menilai mana yang baik dan buruk.

Misalnya, gambaran Api Neraka yang dipaparkan dalam filem ini boleh menyampaikan mesej kepada mereka agar jangan tinggal solat dan melakukan perkara yang dilarang jika tidak mahu dihumban dan merasa hangatnya bahang Api Neraka.

Filem Syurga Cinta turut dilakonkan oleh Awal Ashaari, Heliza, Mustapha Kamal, Dian P. Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam dan Wazata Zain.

Filem terbitan MIG ini mengisahkan Irham (Awal Ashaari), berusia lewat 20-an anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Pn Sri Mahani telah membesar di luar negara sejak berumur 12 tahun lagi. Kerana terlalu lama di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang barat.

Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham.

Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkannya. Alex dan Zainal mencabar Irham memikat gadis bertudung, Syuhadah kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini. Irham melakukan pelbagai cara untuk memikat Syuhadah yang secara kebetulan merupakan guru agama di sekolah adik angkatnya iaitu Ikmal (Hadziq).

Ikmal seorang budak berusia 8 tahun yang nakal tetapi cerdik dan petah apabila bercakap. Penuh dengan idea-idea yang bernas yang dipengaruhi dari kaca televisyen.

Ikmal bukan sahaja seorang budak yang mendengar kata gurunya malah kedua orang tuanya. Dia bersikap penyayang dan suka memerhati serta meletakkan guru agamanya sebagai sumber ilmu bagi pelajaran agama.

Hadziq semakin terkenal selepas muncul dalam program TV Tom Tom Bak yang disiarkan di Astro Ria.

Namun dia tidak merasakan dirinya sudah cukup glamour memandangkan dia baru berlakon sebuah filem dan hanya muncul di program Tom Tom Bak bersama pengacara terkenal Aznil Hj. Nawawi.

“Tetapi, di sekolah saya mempunyai ramai kawan kerana mereka suka saya mengajar mereka berlakon,” beritahunya yang tidak segan mengaku mempunyai seorang 'teman wanita' bernama Athirah Jane di sekolahnya.

Telatahnya yang spontan dan bersahaja membuahkan perasaan lucu di hati sesiapa yang melihat Haziq sama ada di dalam mahupun di luar tabir.

Misalnya dalam filem Syurga Cinta, lakonannya yang bersahaja itu menarik perhatian penonton untuk terus menyaksikan filem ini ke penghujungnya.

Ditanya tentang dialog dan aksi yang ditonjolkan dalam filem itu, Hadziq berkata kadangkala dia akan mengikut skrip yang dibaca dan adakalanya ia keluar dengan spontan.

“Saya akan menggunakan skrip yang diberikan dan adakalanya saya buat skrip sendiri.

“Kadangkala, saya cuba-cuba juga menolong Kak Heliza dan Abang Awal menghayati watak mereka.

“Tetapi Abang Awal juga ada menolong saya buat apa yang Uncle Idham suka. Contohnya semasa babak saya perlu mengawal ‘remote control’ kereta.

“Saya perlu habiskan masa selama dua hari untuk belajar supaya pandai mengawal alat itu hingga ia nak rosak.

“Saya suka Abang Awal sebab dia selalu menolong saya dan suka buat kelakar. Saya rasa cerita ini dah hancur kalau Abang Awal tiada,” katanya yang bijak berkata-kata.

Kata anak sulung dari tiga beradik ini, dia ingin berlakon lagi jika diberikan tawaran .

Apabila dewasa, Hadziq berkata dia bercita-cita hendak bergelar seorang angkasawan seperti Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan jika ada masa terluang hendak mengikut jejak produser David Teo.

Saksikan gelagat nakal dan lucu Hadziq dalam filem Syurga Cinta di pawagam mulai 21 Mei ini!

Artikel Berikut

Artikel Lain