suria

Isteri Jimmy Shanley Dijangka Bersalin Julai

SHAH ALAM: Isteri kepada pengacara, Jimmy Shanley Norjahan Salleh dijangkakan akan melahirkan anak sulung mereka pada pertengahan Julai depan.

Keadaan kandungan Nursuhaila Eliani Suhaimy dimaklumkan oleh peguam syarie Saadiah Din pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin.

"Saya memohon agar diberikan tarikh yang agak panjang dari hari ini sebagai tarikh sebutan, kerana anak guam saya akan bersalin," katanya.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Saharuddin Selamat memutuskan untuk tidak membenarkan penangguhan yang terlalu lama, sebaliknya hanya memberi pengecualian kehadiran kepada Nursuhaili.

Kes ditetapkan sebagai sebutan semula pada 14 Julai depan untuk membolehkan Jimmy menjawab pembelaan Nursuhaila yang telah difailkan pada pagi Isnin.

Pada prosiding itu, Jimmy yang diwakili oleh peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus tidak hadir kerana sedang mengerjakan umrah dan akan pulang ke tanah air pada Selasa.

Nursuhaila Eliani pula hadir bersama seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya dan mengelak daripada dihampiri oleh pihak media.

Prosiding mahkamah bermula selepas Jimmy memfailkan permohonan nusyuz dan kembali taat terhadap Nursuhaila selepas mereka hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari selepas melangsungkan perkahwinan. Permohonan kembali taat difailkan pada 3 Januari lalu sebelum diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lalu.

Jimmy dan Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh pada 1 Oktober 2010.

Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain