Miyavi berkunjung buat julung kali ke Malaysia. - Foto oleh NORAFIFI EHSANKUALA LUMPUR: Penyanyi dan pemuzik dari negara Jepun, Miyavi mengakui keputusannya mempelajari kursus bahasa Inggeris di Los Angeles, Amerika Syarikat kira-kira lima tahun lalu melancarkan proses berkomunikasi ketika dia mengembara ke seluruh dunia.Miyavi atau nama sebenarnya Takamasa Ishihara, 31, berkata usaha tersebut ternyata membuahkan hasil apabila dia kini semakin lancar berkomunikasi dalam bahasa antarabangsa itu khususnya menjawab soalan-soalan media di merata tempat. “Saya kini boleh berbangga dengan pencapaian saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Bayangkan, lima tahun lalu saya langsung tidak tahu berbahasa Inggeris walau sepatah perkataan pun.“Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana dapat berkomunikasi dalam dua atau lebih bahasa, manakala dasar pendidikan kami di Jepun membuatkan kami tidak tahu berbahasa Inggeris.“Kerjaya seni saya berkembang ke negara-negara barat dan seluruh dunia sejak 2008, maka saya fikir mempelajari bahasa itu (Inggeris) adalah jalan terbaik,” katanya pada sesi temu bual di pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang di sini, tengah hari Selasa.Kunjungan sulung lelaki berdarah kacukan Jepun dan Korea itu ke sini adalah bersempena promosi album terbaru, What’s My Name? yang dipasarkan sejak 2010.Persembahan istimewa Miyavi akan berlangsung pada pukul 8 malam selama 45 minit di Stage KL, Avenue K di sini, malam Rabu (esok).Bintang yang terkenal dengan gelaran ‘Gitaris Samurai’ itu berkata, dia tidak mengambil tempoh yang lama untuk mempelajari bahasa tersebut walaupun tidak mempunyai asas.“Ketika menghadiri kursus itu di sana, saya banyak berkomunikasi dan hanya mengambil masa selama setengah tahun untuk mempelajari perkara-perkara asas dalam bahasa Inggeris.“Namun, bahasa Inggeris saya belum sempurna lagi pada hari ini, cuma ia lebih baik dan saya semakin yakin berkomunikasi dengan pelbagai pihak berbanding sebelum ini,” katanya.Ditanya mengenai persembahan pada malam esok, Miyavi berkata, dia belum memikirkan konsep tertentu untuk dipersembahkan kerana masih menantikan idea daripada pemain dramnya, Bobo.“Saya belum ada idea tertentu mengenai persembahan pada malam esok. Kebiasaannya saya akan menantikan idea daripada pemain dram Bobo. Dia yang akan memberikan konsep persembahan kepada saya seperti jelajah kami yang lepas,” kata bapa kepada dua anak ini.Penyanyi dari Osaka, Jepun ini sudah mengeluarkan tujuh album sehingga kini iaitu Gagaku (2002), Galyuu (2003), Miyavizm (2005), MYV Pops (2006), Miyaviuta-Dokusou (2006), This Iz the Japanese Kabuki Rock (2008) dan terbaru What’s My Name? (2010).Miyavi merupakan artis naungan Warner Music di negara ini.