Ariel menganggap pembebasannya pada bulan Ramadan ada hikmah yang besar. Foto-EPABANDUNG: Vokalis kumpulan muzik pop Peterpan, Ariel menganggap pembebasan bersyarat dari Penjara Kebon Waru, Bandung pada bulan Ramadan membawa hikmah yang besar kepada dirinya.Sambil mengucapkan syukur dengan pembebasan itu, Ariel, 31, berkata satu perkara yang begitu dirasainya selepas menjadi orang bebas pada bulan mulia ini ialah beliau tidak terkejut dengan suasana di luar penjara. Bercakap pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada majlis kesyukuran pembebasannya, dan acara berbuka puasa bersama peminat serta anak yatim, Ariel bagaimanapun enggan menjelaskan dengan lebih lanjut hikmah yang dirasai kerana bimbang tersilap cakap atau disalah tafsir orang ramai."Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai, belum tentu tidak bagus buat kamu. Dalam kesulitan ini, saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup," katanya.Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham telah dihukum penjara tiga setengah tahun oleh mahkamah pada pada Januari tahun lepas kerana mengedar dua video lucah yang dipercayai membabitkan dirinya sendiri dan dua artis wanita iaitu Cut Tari dan kekasihnya ketika itu, Luna Maya.Sehingga kini, Ariel dan Luna Maya tidak mengaku mereka adalah orang dalam video lucah itu namun Cut Tari membuat pengakuan bahawa beliau dan Ariel adalah orang dalam video itu, dan memohon maaf secara terbuka atas perlakuannya itu.Pembebasan bersyarat hari ini diberikan pihak berkuasa selepas Ariel menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman yang dikira sejak beliau ditahan reman pada 2010.Sementara itu, Ariel berkata beliau akan segera menyiapkan buku memoir pengalamannya selama lebih dua tahun menjadi banduan dan kemungkinan akan melancarkan buku berkenaan pada pertengahan bulan Ramadan ini."Banyak orang ingin tahu apa yang saya lakukan selama dua tahun lebih dalam tahanan. Begitu juga dengan apa yang dilakukan oleh anggota Peterpan yang lain di luar sepanjang tahun 2010 sehingga tahun 2012 ini. Justeru, buku catatan ini akan merakamkan keseluruhannya," katanya.Ketika ditanya wartawan sama ada beliau menganggap diri menjadi superstar sejak berada di penjara kerana sokongan luar biasa oleh para peminatnya, Ariel berkata beliau tidak menganggap sedemikian dan tidak menyangka mendapat perhatian yang begitu besar daripada peminat dan media."Saya pernah membahaskan hal ini dengan teman-teman Peterpan. Seperti saya, mereka juga tidak sangka dengan apa yang berlaku. Apa yang boleh saya katakan ialah, selama dalam tahanan saya benar-benar menemui siapa itu teman sejati," katanya.Kepada satu soalan lain, penyanyi itu berkata beliau tidak pernah terfikir untuk melakukan ritual "membuang sial" selepas keluar penjara sebagaimana yang dilakukan beberapa pihak."Saya ada cara lain untuk dilakukan andai menyebut soal buang sial seperti yang kamu (wartawan) sebutkan. Tidak ada istilah buang sial itu," katanya.Selepas kembali daripada tempoh berehat, Ariel berkata beliau akan kembali aktif berkarya dalam kumpulan Peterpan.- BERNAMA