suria

Artis Pakai Tudung Tidak Perlu Mengeluh

Sheila Rusly
Sheila Rusly
Sheila Rusly

PETALING JAYA: Artis-artis wanita khususnya mereka yang membuat keputusan untuk berhijrah dan menukar imej dengan memakai tudung tidak wajar mengeluh jika berdepan kesulitan untuk mendapatkan tawaran kerja.

Golongan itu seharusnya yakin terhadap niat utama untuk berhijrah dan perlu mengelak daripada memberikan kenyataan yang boleh mencemarkan imej mereka selepas membuat keputusan untuk berubah.

Pelakon dan penerbit drama Sheila Rusly berkata, sekiranya ada di kalangan artis yang baru bertudung sukar untuk mendapat tawaran kerja kerana penghijrahan itu, individu tersebut harus menerima dugaan tersebut dengan hati terbuka.

“Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah.

"Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.

"Bertudung dan menutup aurat itu tidak membebankan atau membatasi urusan seharian kita,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Penerbit eksekutif JS Pictures ini berkata demikian sebagai respons kepada luahan dan rungutan segelintir artis wanita yang bertudung mendakwa kurang mendapat tawaran seperti sebelumnya.

Malah terdapat sesetengah artis yang tergamak memberi kenyataan sinis dengan memburuk-burukkan pihak tertentu selepas menukar imej selain turut menyertai parti politik pembangkang.

Berdasarkan kepada pengalamannya Sheila berkata, kerjaya dan perniagaannya tidak merudum sebaliknya dia menikmati kesan positif terutama sekali selepas pulang daripada menunaikan ibadat Haji pada hujung 2007.

“Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung.

“Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung.

“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.

Bersifat sementara

Aktres berpengalaman Aida Khalida pula berkata, senario tawaran lakonan yang terjejas selepas bertudung hanya bersifat sementara kerana dia juga tidak terlepas daripada pengalaman itu ketika mula bertudung kira-kira empat tahun lalu.

“Bagi saya, isu tawaran terjejas atau merosot adalah ujian Allah kepada artis yang baru berhijrah. Ketika mula-mula bertudung empat tahun lalu, saya pun hadapi perkara yang sama tetapi ia hanya sementara.

“Berkat keyakinan, doa dan usaha Allah pasti bukakan pintu rezeki kepada kita. Tawaran kerja yang konsisten atau terjejas tiada kaitan dengan bertudung kerana ia adalah perkara wajib bagi wanita Muslim,” katanya.

Menurut Aida, rezeki daripada pendapatannya menjadi lebih berkat berbanding sebelum bertudung dulu kerana ia berterusan dan tidak pernah putus.

“Alhamdulillah, pendapatan lakonan saya tidak terjejas, malah rezeki itu menjadi lebih berkat sejak saya bertudung. Kalau sebelum ini, dapat sebanyak mana pun wang pasti akan habis begitu sahaja tetapi sekarang rezeki itu sentiasa ada.

“Susah saya hendak jelaskan sebenarnya tetapi itulah perkara terhebat yang saya peroleh berkat penghijrahan ini,” katanya.

Bekas pelakon dan pengacara yang kini bergelar aktivis bebas Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmo (Wardina) mengakui menerima impak negatif dan diskriminasi daripada industri seni ketika dia berhijrah sekitar 12 tahun lalu.

“Namun saya sudah meletakkan sasaran untuk berundur diri daripada lakonan dan beralih ke bidang pengacaraan ketika itu. Tidak saya nafikan, impak diskriminasi saya alami ketika mula-mula bertudung tetapi ia hanya perkara kecil dan sementara.

“Lama-kelamaan, penggiat seni dan peminat semakin terbuka dan menerima penghijrahan saya. Mungkin juga kerana saya sudah tidak mahu berlakon ketika bertudung dulu, saya jadi tidak begitu kisah mengenai reaksi orang kerana saya tahu apa yang saya lakukan,” katanya.

Ujar Wardina, jika seseorang artis wanita itu berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni selepas bertudung, dia harus bersabar dan percaya pada rezeki yang ditetapkan Allah.

“Berhijab bukan kerana kita sudah sempurna iman atau terlalu baik tetapi kerana mahu menjadi manusia yang lebih baik.

“Jika di kalangan artis bertudung mampu bertahan, teruslah berusaha mencari rezeki yang berkat tetapi jika sebaliknya, maka beralihlah kepada bidang yang lebih baik,” katanya.

Artikel Lain