suria

Biro Aduan Karyawan Bakal Selesaikan Masalah Artis

Freddie (tengah) berkata sesuatu sambil diperhatikan Ezany (kanan) dan Din Maidin.
Freddie (tengah) berkata sesuatu sambil diperhatikan Ezany (kanan) dan Din Maidin.

PETALING JAYA: Ketika Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) digantung perjalanannya oleh mahkamah, para artis yang mempunyai sebarang masalah boleh merujuk kepada persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) selepas persatuan itu mengambil langkah memperkenalkan Biro Aduan.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, biro itu dikelolakan oleh pelakon Din Maidin yang akan membantu para artis dan mereka yang terlibat dalam industri hiburan untuk mengadu masalah masing-masing untuk diselesaikan.

“Ini semua khidmat yang kami sediakan untuk kebaikan ahli dan kami berharap ramai lagi ahli akan menyertai Karyawan bagi membolehkan kami membantu mereka menyelesaikan sebarang masalah,” katanya kepada mStar Onlinedalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini petang Khamis.

Freddie menambah bagi memudahkan pihaknya menerima aduan daripada penggiat seni, Karyawan memperkenalkan kaedah di mana golongan berkenaan boleh memuat turun borang yang disediakan melalui laman web persatuan itu.

Katanya, borang yang siap diisi berserta masalah masing-masing perlu difakskan kepada pejabat persatuan tersebut untuk langkah seterusnya.

Dalam pada itu Karyawan turut memperkenalkan Biro Pelakon yang diketuai oleh Ezany Nizariff serta mengemas kini Biro Perfileman bagi membolehkan bantuan kepada artis-artis tertentu dapat disalurkan.

Sehubungan itu beliau meminta para artis di negara ini dapat mengemas kini profil masing-masing menerusi laman web persatuan itu di www.karyawan.org.my.

“Selepas beberapa langkah aktif seperti penganjuran pelbagai aktiviti kesenian dengan pelbagai pihak seperti penganjuran Malam Amal Warisan Seni pada 24 November lalu yang menyaksikan 22 artis menerima bantuan, Karyawan merasakan tiba masanya untuk memperkukuhkan lagi susun atur organisasi dan aktiviti persatuan ini,” katanya.

Beliau menambah Karyawan juga telah memulakan Program Akreditasi untuk artis rakaman, penyanyi hotel dan pelakon di mana mereka diberikan program latihan dan persediaan bagi menjalankan kerjaya secara profesional.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain