suria

Liza Abdullah Sedia Bergelar Janda

Liza Abdullah bersama anak sulungnya Zulhaffiz Zarriq.
Liza Abdullah bersama anak sulungnya Zulhaffiz Zarriq.

PETALING JAYA: Pelakon Liza Abdullah mengakui sudah bersedia untuk bergelar seorang janda apabila proses perceraian dijadualkan akan berlaku di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini pada 24 Februari depan.

Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah, 50, bagaimanapun berkata, dia mengakui perasaannya agak perit untuk menerima keadaan itu walaupun sudah nekad membuat keputusan itu selepas berbincang dengan suami Zolkifli Abd Rahman dan keluarga sebelum ini.

"Siapa yang tidak perit apabila sudah hidup bersama sebagai suami-isteri bertahun-tahun lamanya dengan pelbagai dugaan yang dilalui. Kami pun mempunyai banyak kenangan manis bersama.

"Cuma masalah ini sudah bertahun-tahun lamanya. Selepas berusaha memperbaiki hubungan tetapi tiada penyelesaian maka kami terpaksa membuat kata putus untuk memberi jarak antara satu sama lain," katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, tambah Liza, dia tidak akan mendedahkan punca keretakan rumah tangganya kepada umum kerana ia merupakan rahsia antaranya dan keluarga.

Dalam pada itu, kata pelakon drama Vanilla Coklat ini, pada mulanya, empat orang anaknya iaitu Zulhaffiz Zarriq, 25, Nur Naffiz Syahiddah, 21, Zulsyahmi Naqib, 12, dan Zulsyahmi Afif, 10, tidak boleh menerima perpisahan tersebut namun selepas dijelaskan, barulah mereka faham walaupun sukar menerima hakikat sebenar.

"Biasalah, anak-anak, mereka sayangkan mak ayah mereka dan kalau boleh tidak mahu melihat perpisahan.

"Saya dan suami membuat keputusan ini pun kerana enggan berbalah dan saya harap sangat agar kami berpisah secara baik, memudahkan kami bersama anak-anak nanti.

"Doakan saya dan suami agar dapat menerima keadaan ini dengan reda. Mana tahu, pada masa akan datang nanti, kami dijodohkan semula. Hanya Allah sahaja yang tahu," ujarnya.

Pada 10 Januari lalu, Liza telah memfailkan permohonan bagi menuntut penceraian terhadap suaminya selepas 26 tahun mereka hidup bersama.

mStar Online dimaklumkan Liza turut mengemukakan saman di mahkamah bagi membolehkan suaminya yang kini berada di Johor Baru untuk hadir bagi sebutan kali pertama kes berkenaan.

Bagaimanapun kes berkenaan yang sepatutnya disebut pada 5 Februari lalu ditangguhkan pada 24 Februari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain