SHAH ALAM: Selepas dituduh cuba mencabul penyanyi Tegar dari Indonesia, bekas pengurus artis itu, Muhammad Arif Dollah tampil mendedahkan kisah lain apabila terdapat seorang individu telah melakukan gangguan seksual terhadapnya. Muhammad Arif, 30, bagaimanapun berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Tegar ketika dia menguruskan penyanyi itu sebelum ini. "Individu berkenaan saya kenal dan terlibat juga dalam industri hiburan dan saya terkejut apabila Tegar mengadu lelaki berkenaan melakukan gangguan seksual kepadanya. "Bagaimanapun saya terkejut apabila perkara yang pernah dia beritahu kepada saya sebelum ini tiba-tiba berubah apabila Tegar mendakwa saya pula yang melakukan perkara tidak bermoral terhadapnya itu. "Wahal sebelum ini dia sendiri mengadu kepada saya tentang perbuatan lelaki berkenaan tetapi saya tidak boleh ambil tindakan kerana tidak lihat dengan mata sendiri," katanya kepada mStar Online. Muhammad Arif ditemui pada sidang media yang diadakan di Restoran Munif Hijaz Papero di sini, Isnin. Muhammad Arif (kanan) semasa menguruskan aktiviti seni Tegar suatu ketika dulu. Terdahulu, Muhammad Arif menerusi laporan mStar Online pada 27 September lalu mendedahkan pihak polis di Singapura telah menutup kes tuduhan gangguan seksual yang dibuat Tegar terhadapnya pada 18 September lalu. Muhammad Arif memberitahu pihak polis mendapati kenyataan dibuat Tegar ketika disoal siasat bercanggah daripada laporan dibuat sebelum itu. Media di Singapura pada hujung Mac lalu melaporkan Muhammad Arif telah ditangkap polis selepas pihak berkuasa negara itu menerima dua laporan berhubung gangguan seksual yang dibuat oleh Tegar dan bekas anak tirinya, juara Akademi Fantasia 2015, Sufi Rashid. Tambah Muhammad Arif, dia tidak akan mendedahkan identiti individu berkenaan namun akan memastikan pihak tersebut tampil membuat penjelasan. Sementara itu, Muhammad Arif berkata, sejak kejadian itu dia tidak pernah berhubung dengan Tegar untuk menyelesaikan masalah tersebut kerana merasakan tiada keperluan berbuat demikian. "Tiada sebab untuk berjumpa dengannya malah ia mungkin akan menimbulkan masalah lain pula nanti. "Biarpun begitu saya tetap mendoakan kejayaannya kerana dia adalah seorang berbakat besar dan apa yang terjadi bukan salahnya tetapi atas hasutan orang lain," ujarnya. Bagaimanapun kata Muhammad Arif, pihaknya akan tetap meneruskan saman sivil berhubung kenyataan palsu dibuat Tegar kepada pihak polis.