PETALING JAYA: Juara Da'i musim ketiga iaitu Hamidah memberitahu semangatnya ketika menyertai program berkenaan hampir hilang selepas mendapat khabar bapanya sakit tenat. Hamidah atau nama sebenarnya Hamidah Ab Razak, 23, berkata, fikirannya sentiasa terkenangkan keadaan bapanya sehingga menyebabkan fokus dia ketika bertanding terganggu. "Saya secara jujurnya tidak pernah terfikir akan menjuarai pertandingan ini kerana fokus saya terganggu selepas mendapat tahu ayah sakit tenat. "Bagaimanapun apabila saya muhasabah diri, saya masuk program ini bukan sahaja kerana ingin menimba ilmu dan berdakwah tetapi juga demi keluarga di kampung. "Alhamdulillah semangat saya kembali dan gembira apabila keluarga termasuk ayah yang semakin pulih turut hadir menyaksikan persembahan saya pada peringkat akhir," katanya kepada mStar Online. Hamidah menerima trofi kemenangan daripada Datuk Kazim Elias yang juga Mursyid Da'i. Terdahulu Hamidah berjaya menumpaskan dua lagi peserta akhir pertandingan itu, Fuad dan Hidayu. Da'i musim ketiga berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini pada Ahad lalu. Kemenangan itu melayakkan Hamidah membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 tajaan TV3 berserta hadiah sampingan lain. Selain itu Hamidah turut membawa pulang trofi dan sebuah iPad selepas dipilih sebagai Da'i Pilihan D' Herbs - pengiktirafan buat peserta menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung. Bercakap mengenai perancangan masa hadapannya, Hamidah memberitahu dia menyimpan hasrat untuk bergelar penulis selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Aqidah. Tiga peserta akhir Da'i (dari kiri), Fuad, Hamidah dan Hidayu. "Sejak dari dahulu lagi saya memang minat untuk bergelar penulis kerana menerusi penulisan saya rasa lebih mudah untuk berdakwah dan berkongsi maklumat dengan cara santai dan mudah difahami. "Bagaimanapun buat masa ini saya ingin kembali fokus kepada pengajian di universiti yang berbaki setahun lagi," katanya. Tambah Hamidah, dia teruja apabila mendapat hadiah kemenangan antaranya sebagai kolumnis selama enam bulan di Majalah-i. "Saya akan gunakan peluang berkenaan untuk berkongsi ilmu selain mengasah bakat penulisan," katanya.