PETALING JAYA: Bekas pemain dram Flop Poppy iaitu Azman Ismail memberitahu dia kini mampu menyewa sebuah rumah untuk berteduh dan membeli sebuah kereta terpakai hasil derma orang ramai kepada anaknya yang mengalami masalah usus sejak dilahirkan pada 15 Oktober lalu. Azman atau lebih dikenali sebagai Man Kanan, 43, berkata, dia kini dapat meneruskan kehidupannya seperti biasa dan mencari kos perbelanjaan rawatan dan pembedahan anaknya yang dijangka akan dilakukan pada Mac depan. "Alhamdulillah, hasil derma orang ramai saya kini dapat berteduh di sebuah rumah dan membeli sebuah kereta buruk yang memudahkan saya ulang alik ke hospital bagi mendapatkan rawatan anak saya. "Buat masa ini saya masih lagi mencari perbelanjaan untuk rawatan harian dan insya-Allah, ramai juga kawan yang datang menghulurkan bantuan dengan menganjurkan aktiviti amal," ujarnya kepada mStar Online. Azman bersama anak lelakinya Putra Azrullah yang mengalami masalah usus tidak bersambung. Azman berkata demikian ketika ditanya tentang perkembangan anak lelakinya Putra Azrullah yang mengalami masalah usus tidak bersambung ketika dilahirkan Oktober lalu. Azman mendirikan rumah tangga dengan Azi Fitrah Ahmad pada tahun 2014. Dia turut mempunyai lapan cahaya mata daripada perkahwinan sebelum ini. Pada 30 Oktober lalu, mStar Online melaporkan Azman yang bekerja sebagai pemuzik jalanan (busker) selepas empat tahun kumpulan Flop Poppy dibubarkan terpaksa menginap di sebuah hotel bajet berdekatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana tidak mampu untuk menyewa rumah. Sementara itu dia turut bersyukur dan berterima kasih ada pihak yang tidak dikenali memberinya sebuah set dram untuk digunakan mencari rezeki. "Ramai orang yang tidak kenal tampil ingin membantu, ada seorang yang bergelar Datuk memberi saya hadiah set dram berharga kira-kira RM5,000 supaya saya boleh gunakan untuk bekerja. "Dia juga mahu bantu saya buat sebuah album untuk dijual ketika saya busking," ujarnya. Bagaimanapun, Azman berkata, dia terkilan ada beberapa pihak yang memandang negatif dan menganggap tindakannya memohon bantuan sebagai jalan pintas meraih simpati. Katanya, apa yang dilakukannya itu adalah jalan terakhir untuk kepentingan anaknya semata-mata. "Ramai juga kawan yang tidak senang dan fikir saya cuba ambil kesempatan terhadap penderitaan anak saya untuk dapat bantuan. "Ramai juga yang mempersoalkan kenapa saya tidak bekerja lain untuk cari duit. Sebenarnya sebelum ini saya dan isteri bekerja di kelab malam dan selepas kami nekad berhenti daripada bekerja di tempat tersebut saya diuji dengan pelbagai perkara termasuk kesempitan hidup. "Namun saya tetap berusaha untuk mencari jalan lain yang halal daripada berpatah balik ke pekerjaan lama," ujarnya.