suria

Reshma AF2016 Sukar Cipta Lirik Bahasa Melayu

Reshma mengakui sukar untuk menulis lirik dalam bahasa Melayu kerana kurang mahir dalam bahasa tersebut.

KUALA LUMPUR: Pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2016 (AF2016) Reshma mengakui agak sukar untuk menulis lirik Bahasa Melayu dalam usahanya mengeluarkan sebuah single terbaru awal tahun hadapan.

Reshma atau Kareshma Martin John Patrick, 18, berkata, kelemahan menguasai bahasa kebangsaan dengan baik memberi cabaran tersendiri buat dirinya dalam merealisasikan impian tersebut.

"Sehingga kini saya sudah siapkan 30 peratus dari melodinya namun menghadapi kesukaran untuk mencipta lirik di dalam Bahasa Melayu kerana saya kurang fasih bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik.

"Bagaimanapun saya bernasib baik kerana ibu banyak membantu memperbetulkan Bahasa Melayu saya dan percaya masalah ini akan dapat diatasi dalam waktu terdekat ini," katanya kepada mStar Online.

Reshma ditemui di acara karpet merah Anugerah Industri Muzik 22 (AIM22) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada Ahad.

Jelasnya lagi, antara sebab dia berhasrat untuk mencipta lagu di dalam bahasa itu adalah sebagai inisiatif untuk dia lebih dekat dengan peminat berbangsa Melayu tersebut selain ingin memperbaiki kelemahan menguasai bahasa itu sejak sekian lama.

Dalam pada itu, kata penyanyi lagu Sayang Jadi Benci ini lagi, dia terharu apabila masyarakat tanpa mengira bangsa mula mengenal dirinya sejak dia menyertai program realiti itu.

"Jujur saya katakan, saya masih tidak percaya dengan apa yang saya lalui hari ini di mana setiap kali keluar, pasti ada yang menegur saya tanpa mengira bangsa.

"Keadaan ini membuatkan keyakinan diri saya semakin bertambah baik dari hari ke hari berbeza sebelum menyertai AF2016 di mana saya seorang yang agak selekeh, buta fesyen dan pemalu," katanya.

Dalam perkembangan kerjaya seninya pula, kata Reshma dia kini sibuk dengan urusan persembahan pentas yang diaturkan oleh pihak Astro selain mulai aktif menyanyi secara atas talian memerusi aplikasi Smule.

"Saya ambil pendekatan menyanyi di aplikasi Smule kerana percaya ini adalah platform terbaik untuk saya terus dekat dengan peminat," katanya.

Di samping itu, Reshma memberitahu dia kini terpaksa menangguhkan impian untuk menyambung pengajiannya selama setahun di peringkat ijazah demi mengambil peluang mencipta nama di dalam bidang seni disaat namanya masih lagi relevan di dalam industri.

"Saya tidak melihat ini satu kerugian kerana usia saya masih lagi muda untuk menyambung pengajian.

"Berbanding ruang yang ada untuk melakar nama di dalam industri, saya rasa peluang yang ada sekarang tidak wajar dilepaskan sementara orang masih mengingati siapa Reshma," ujarnya.

Reshma

Artikel Lain