VIDEO nyanyian pelakon sensasi Fathia Latiff bukan sahaja mendapat perhatian netizen, malah anak tiri penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Asyraf Khalid turut terkejut dan kagum dengan bakat nyanyian pelakon itu. Bagaimanapun, pemilik syarikat pengurusan artis A Klasse Management Sdn Bhd ini berkata, aktres itu perlu menjaga dirinya dengan baik dan mula menghormati orang lain. "Saya tidak sangka suaranya begitu baik. Namun dia perlu menjaga dirinya dengan baik, dan perlu mula menghormati orang lain dan kerjaya mereka. "Dalam kata lain, dia perlu bertindak profesional dan barulah bakatnya akan jadi lebih berharga. Dia sangat berbakat dalam dua-dua bidang," ujarnya menerusi ruangan komen YouTube nyanyian pelakon berkenaan. Komen Asyraf pada video nyanyian Fathia Video Fathia menyanyikan lagu New Rules daripada Dua Lipa dimuat naik oleh gitaris kumpulan Iam Neeta iaitu Patrick Anohada di laman YouTube pada Khamis lalu. Biarpun terpalit beberapa kontroversi kebelakangan ini, namun, netizen tidak menafikan bakat yang dimiliki pelakon tersebut sangat bernilai. Segelintir netizen turut memberi sokongan kepada aktres itu untuk mencuba bakat ke bidang nyanyian. Sementara itu Patrick yang juga komposer lagu Bayang nyanyian Khai Bahar memberitahu, setakat ini belum ada rancangan mencipta lagu untuk penyanyi itu. "Fathia sekadar suka-suka sahaja tiada rancangan pun untuk menyanyi secara serius. Tapi pada pendapat saya suara dia bagus dan boleh jadi penyanyi," ujarnya. Video yang dimuat naik pada Khamis kini sudah menerima sebanyak 23,000 tontonan.