PENYANYI Wani Kayrie tidak mahu menoleh ke belakang lagi selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang didudukinya berakhir pada 30 November ini. Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 17, berkata, dia tidak sabar untuk memberi fokus sepenuhnya dalam mengukuhkan kerjaya dalam bidang seni. "Saya sudah menghentikan semua aktiviti nyanyian demi SPM selama hampir dua bulan. Apabila peperiksaan tamat, saya akan tumpukan sepenuhnya terhadap kerjaya saya pula. "Tahun 2018 khususnya akan menjadi tahun untuk saya kukuhkan lagi tapak saya dalam industri seni," katanya kepada mStar Online. Wani mahu fokus kerjaya nyanyian. Dia ditemui sewaktu majlis sambutan ulang tahun ke-10 Suria FM pada Jumaat lalu. Sementara itu, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Suka Kamu ini berkata, dia juga sedang berjinak-jinak dalam bidang penulisan lagu. "Sebab saya boleh main gitar dan piano, jadi saya pun dah mula buat lagu sendiri. "Setakat ini sudah ada 10 lagu dalam koleksi saya, harapnya semakin banyak lepas ni," katanya lagi. Mengulas mengenai perancangannya, Wani memberitahu dia berminat untuk berkoloborasi dengan Faizal Tahir suatu hari nanti. Menurut Wani, dia sudah lama meminati penyanyi Mahakarya Cinta itu dan peluang untuk bekerjasama pastinya tidak akan ditolak. "Ramai orang cakap suara saya sesuai dengan Faizal sebab kami berdua memiliki suara yang besar. "Saya pun dah lama minat dia, apa salahnya kalau berduet. Itu adalah salah satu impian saya," ujarnya lagi.