suria

“Irfan Haris Masih Mentah, Usah Dikutuk" – Amira Othman

Amira Othman mengakui mudah tersinggung apabila berkaitan dengan adiknya, Irfan Haris. Foto SHAARI CHE MAT

BERSUNGGUH-SUNGGUH nampaknya penyanyi Amira Othman bercakap mengenai adik lelakinya iaitu Irfan Haris yang kini popular menerusi lagu berjudul Redha.

Menyedari Irfan semakin mendapat tempat di hati peminat, Amira berkata, dia mudah terasa hati jika terdengar atau membaca netizen menghentam dan mengkritik Irfan di laman sosial.

"Jujur, saya memang tak boleh dengar kalau ada yang kritik adik di depan saya. Jangan kutuk dia depan saya.

"Memang kalau saya terbaca komen negatif tentang Irfan saya akan terasa hati dan sensitif sebab dia adik bongsu kesayangan saya," katanya.

Irfan dan Amira kini sedang meningkat naik dalam bidang hiburan.

Dalam pada itu, Amira berkata, dia bukan tidak boleh menerima kritikan negatif terhadap adiknya tetapi ia adalah perkara normal apabila melibatkan ahli keluarga sendiri.

Malah kata Amira, Irfan mungkin tidak dapat menerima dengan baik apa diperkatakan netizen memandangkan usianya baharu 16 tahun dan masih mentah sebagai artis.

"Hakikatnya dia masih remaja dan baru lagi berkecimpung dalam bidang seni dan masih banyak perkara yang belum dia faham mengenai selok-belok dunia hiburan.

Amira ingin kembali fokus kepada bidang nyanyian.

"Kalau saya 'kebal' lagi rasanya tetapi mungkin dia masih belum boleh terima atau menghadam semua perkara negatif diperkatakan tentangnya dengan hati terbuka," kata Amira.

Sementara itu, Amira berkata, sebagai kakak dan senior dalam bidang seni dia sering menasihatkan Irfan agar tidak membaca komen negatif di laman sosial.

"Saya selalu beritahu dia apa perkara tak elok yang orang tulis itu adalah pandangan mereka dan jangan baca kalau tiada kekuatan.

"Ia adalah lumrah ada orang suka kita dan sebaliknya. Saya ingatkan juga bahawa setiap kata-kata negatif itu sebenarnya yang buat kita kuat dan lebih baik," ujarnya.

Amira Othman, Irfan Haris

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain