suria

Jangan Peduli Cakap Orang - Baby Shima

Shima sedih apabila segelintir orang di Malaysia hanya tahu memberi komen negatif. Foto Instagram; @babyshimaofficial.

PESERTA program D'Academy Asia musim ke-3, Baby Shima berkata, pada mulanya dia sedih apabila menerima komen negatif daripada netizen.

Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, berkata ramai yang menasihati supaya dia jangan ambil peduli apa kata orang yang tidak tahu tentang nyanyian.

"Kecewa itu tak ada. Mula-mula rasa sedih juga. Kadang-kadang terasa mereka ini lebih bagus daripada juri dan lebih mahir dalam nyanyian.

"Pada hal mereka ini masuk pertandingan pun tak pernah. Tapi ramai yang nasihatkan saya ambil perkara itu positif saja.

"Jangan ambil peduli apa yang netizen cakap. Biasalah kita tak boleh nak menutup mulut orang," kata Shima kepada mStar Online.


Shima tidak mahu mengambil peduli kata-kata negatif orang.

Menurut Shima lagi, peminatnya di Indonesia lebih banyak memberi sokongan berbanding orang di Malaysia.

Bagaimanapun, hanya segelintir netizen sahaja yang suka memberi komen negatif dan mencari kesalahan.

"Sejujurnya orang di Indonesia lebih memberi sokongan berbanding di Malaysia. Dari cara mereka meninggalkan komen juga berbeza. Namun, bukan semua orang Malaysia macam itu," ujarnya.

Terdahulu, video juri rancangan tersebut, Mas Idayu memarahi Shima selepas melakukan persembahan menjadi tular dan parodi di laman sosial.

Rata-rata mengecam tindakan Mas Idayu dan ada juga yang memberi komen serta kritikan terhadap nyanyian Shima.

Shima terharu apabila dia tercalon dalam anugerah dangdut di Indonesia.

Dalam pada itu, biarpun masih baru dalam bidang dangdut, Shima berjaya dicalonkan dalam Anugerah Dangdut Indonesia 2017 menerusi kategori Penyanyi Dangdut Pendatang Baru Terpopuler.

"Mula diberitahu tercalon pada empat hari lalu. Ingatkan pihak Nagaswara hanya bergurau.

"Sudah tentu saya terkejut memandang bukan mudah orang luar untuk berada di dalam anugerah salah sebuah stesen di Indonesia.

"Insya-Allah saya harap ini sebagai batu loncatan untuk bertapak dan dikenali di negara tersebut," katanya.

Shima akan bersaing dengan Maisaka, Nella Kharisma, Tasya Rosmala, Ulva Melia, Vita Alvia dan Weni dalam kategori yang sama.

Anugerah itu akan berlangsung pada 7 Disember depan di Jakarta, Indonesia dan pemenang berdasarkan hasil undian peminat.

Baby Shima, D'Academy Asia

Artikel Berikut

Artikel Lain