suria

Maisarah Hampir Berputus Asa

Maisarah

PENYANYI remaja Maisarah mengakui hampir putus asa selepas tiga tahun menceburkan diri dalam bidang nyanyian.

Maisarah atau Maisarah Mohd Faizal, 16, berkata, dia tidak tahu di mana puncanya dia sukar menempatkan nama sebaris penyanyi-penyanyi muda lain.

"Bohong kalau saya cakap tak pernah ada perasaan kecewa dan berputus asa. Dalam tiga tahun bergelar penyanyi, sudah banyak kali rasa nak berhenti.

"Mungkin juga sebab saya masih bersekolah, susah mahu seimbangkan antara kerjaya dan pelajaran menyebabkan populariti saya agak suram.

"Tapi bila fikir balik, saya baru berusia 16 tahun. Jauh lagi perjalanan saya dalam bidang seni.

"Jadi, saya bangkit dan cuba buktikan yang saya boleh menjadi penyanyi berjaya suatu hari nanti," ujar Maisarah sewaktu dihubungi mStar Online.

Menurut gadis yang berkebolehan bermain piano dan ukulele ini, sokongan padu keluarga dan peminat menjadi kekuatan untuknya meneruskan kerjaya seni.

Maisarah ingin berduet dengan Zee Avi.

Dia juga bersyukur mendapat bimbingan dari penyanyi terkenal, Hazami yang banyak membantu dirinya dari segi nasihat selain menerbit dan membuat sususan lagu untuk saya.

"Hazami banyak bagi tip pada saya. Dia juga ada yang menerbit lagu untuk saya yang berjudul Prasetia," ujar Maisarah lagi.

Dalam pada itu, Maisarah baru sahaja melancarkan album sulungnya pada 25 November lalu.

Menerusi album itu, Maisarah mempertaruhkan lima buah lagu baharu.

Selain Prasetia dan Si Kacak, album berkenaan turut mengandungi lagu Tak Mungkin Sendiri, Siapa Lagi dan Adakah Ini Cinta.

Mengenai konsep album berkenaan, Maisarah menjelaskan album itu menampilkan beberapa genre berbeza.

"Saya tidak fokus pada irama balada sahaja, ada juga lagu rancak dalam album ini.

"Saya memilih hala tuju sedemikian bagi membuktikan kepada banyak pihak bahawa saya boleh menyanyikan lagu pelbagai genre," ujar penyanyi itu yang memasang impian untuk berduet dengan Zee Avi suatu hari nanti.

Maisarah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain