KOMPOSER dan penyanyi Alif menolak lirik lagu terbaharunya iaitu Buat Selamanya yang mengangkat kisah tentang keganasan dalam hubungan adalah pengalaman peribadinya. Sebaliknya kata Alif, 28, idea menghasilkan lirik lagu itu terjadi secara spontan dan dia mengetengahkan isu itu sebagai kelainan berbanding lagu bertemakan cinta sedia ada. “Di sebalik lirik mengenai keganasan dalam perhubungan ia sebenarnya turut membawa maksud tentang kasih sayang dan menghargai pasangan dalam meneruskan kehidupan lebih baik. Alif bersama Pengarah urusan Warner Music (M), Darren Choy (kiri) dan Pengurus A&R Warner Music (M), Mokhtaza Ahmad pada pelancaran single terbaharunya. “Ia bukan kisah peribadi saya dan ia digambarkan secara terbuka malah ketika mendapat idea mencipta liriknya ia datang secara spontan. “Lagu berkonsepkan cinta yang ada hari ini pun sering mengangkat kisah hampir sama dan sebab itu juga saya tampilkan kelainan dalam Buat Selamanya,” katanya kepada mStar Online. Alif atau Muhammad Alif Abdullah yang juga bekas anggota kumpulan Sleeq ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya itu pada Selasa. Dalam pada itu, Alif berkata, dia mengambil masa yang lama untuk tampil dengan single solo selepas berpecah dengan Sleeq kerana lebih banyak memberi fokus kepada tugasnya sebagai komposer. Alif ingin kembali aktif sebagai penyanyi. Jelas Alif, bergelar komposer memang adalah cinta pertamanya dalam bidang muzik namun kini sudah bersedia kembali bergiat aktif sebagai penyanyi. “Selepas berpecah saya ada mengeluarkan single berjudul Mama namun selepas itu saya tidak aktif menyanyi dan lebih fokus sebagai komposer. “Saya lebih selesa bekerja di belakang tabir dan banyak menghasilkan lagu untuk artis lain seperti Kaka Azraff, Zizan Razak, De Fam, Joe Flizzow dan Adira. Alif juga bergelar seorang komposer. “Namun rasanya sekarang sudah tiba masanya saya fokus pada penghasilan muzik untuk diri sendiri pula,” ujarnya. Bercakap lanjut mengenai Buat Selamanya, Alif yang berasal dari Singapura memberitahu lagu itu pada asalnya bukan dihasilkan untuk dirinya. Bagaimanapun kata Alif, dia tidak berjumpa dengan penyanyi yang sesuai untuk menyanyikan lagu itu selain daripada dirinya sendiri dan memutuskan untuk merakamkan sebagai single solonya.