JUARA Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Aishah bengang apabila mengetahui ada syarikat makanan tambahan menggunakan nama dan wajahnya dalam mempromosikan produk mereka. Aishah atau Wan Aishah Wan Ariffin berkata dia terkilan dengan tindakan syarikat tersebut yang tidak mendapatkan keizinannya terlebih dahulu. "Ini bukan kes salah faham tapi kes pandai-pandai gunakan gambar orang lain tanpa izin untuk promosi produk kamu. "Kalau peminat tak bagi tahu, senang-senang saja kamu gunakan gambar untuk melakukan (jual) produk itu," tulisnya di laman Instagram. Aishah memuat naik status tersebut di laman Instagram miliknya. Semalam, penyanyi berusia 52 tahun ini memuat naik status berang dengan tindakan sebuah produk makanan tambahan yang menggunakan wajahnya dalam iklan di laman sosial. Dalam pada itu, Aishah memaklumkan jika mahu melantik seseorang selebriti menjadi duta produk, mereka perlulah menyediakan kontrak yang sah. Penyanyi lagu Janji Manismu ini berkata, tindakan memberikan produk percubaan bukanlah tanda mereka sah menjadi duta kepada jenama itu. Aishah mahu membetulkan keadaan supaya tiada pengguna yang tertipu. "Orang kalau nak jadikan seseorang duta ke apa ke semua kena ada kontrak yang diiktiraf. "Bukan hanya sekadar hantar produk sekotak dua sahaja," katanya. Sementara itu, Aishah mengakui terkejut apabila diberitahu oleh peminat bahawa wajahnya digunakan sebagai testimoni. Juara GV4, Aishah (tengah) bersama Liza Hanim (tempat kedua) dan Lan (ketiga) ketika final GV4 pada 17 Disember lalu. Malah, dia juga berasakan perlu untuk membetulkan keadaan supaya tiada yang tertipu dengan produk menggunakan namanya tanpa kebenaran. "Rupanya merata gambar testimoni saya ini. Korang suka-suka saja jaja nama saya buat testimoni palsu, dengarnya dari masa saya menang GV4. Ini kesalahan serius!. "Ini bukan fasal nafsu amarah, ini tindakan yang sepatutnya dibuat untuk membetulkan testimoni menipu tu. "Hampir sebulan iklan dimuat naik oleh entah berapa orang penjual. Memaafkan itu satu benda lain, tapi membetulkan info itu juga penting," tegasnya.