suria

Dedikasi iR Radzi Untuk Arwah Bapa

iR Radzi masih berpegang kepada pesanan arwah bapanya. Foto SYED AZAMUDDEN.

PENYANYI iR Radzi tetap akan perjuangkan karier nyanyiannya sebagai memegang pesanan Allahyarham bapanya, Jamali Ellen yang meminta agar dia meneruskan pembabitannya dalam bidang seni.

iR atau Mohamad Shah Riadzi, 34, berkata, bapanya adalah penyokong setianya sejak di awal kemunculannya sebagai penyanyi dan arwah sentiasa berpesan agar dia bersungguh-sungguh dalam mengejar cita-citanya.

"Arwah bapa dan ibu sentiasa beri sokongan kepada saya sejak di awal pembabitan saya dalam bidang seni. Mereka ingin lihat saya menjadi penyanyi berjaya.

"Berjaya dalam bidang kerjaya yang saya pilih. Bapa saya seorang yang selalu mengikuti perkembangan saya.


iR merindui bapanya yang meninggal dunia pada 21 Ogos 2016.

"Dia selalu berpesan, kalau nak buat kerja itu, buat betul-betul. Sampai sekarang saya masih berpegang dengan pesanannya," kata Ir kepada mStar Online.

iR ditemui ketika majlis pelancaran album terbaharunya berjudul Sempurna dan single Cinta Terakhir di Red Box, The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penyanyi lagu Sempurna Waktu ini, dia banyak berkongsi mengenai muzik selain mendapat banyak tunjuk ajar bapanya.

Malah kata iR, bapanya juga pernah memintanya untuk menggubah sebuah lagu untuknya dan Cinta Terakhir adalah dicipta khas buat Allahyarham.

iR mendedikasikan single terbaharu buat arwah bapanya.

"Dari segi lagu, saya banyak berkongsi lagu dengannya malah, dia juga pernah minta saya buat lagu untuknya. Lagu terbaharu saya memang khas buat ayah saya," katanya.

Dalam pada itu, iR mengakui masih ada lagi segelintir pihak menganggap dia berasal dari negara jiran iaitu Indonesia dan bukannya penyanyi tempatan.

Kata iR, situasi itu mungkin disebabkan lagu-lagunya banyak diilhamkan daripada muzik penyanyi di negara tersebut.

"Ada peminat pernah bertanya saya berasal dari mana dengan bahasa Indonesia sebab mereka fikir saya penyanyi dari sana.

"Saya pun balas dengan nada seperti dialek Indonesia tetapi bila saya beritahu saya dari Kuching, Malaysia, semua terperanjat," jelasnya.

Ir Radzi, Sempurna

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Enam Pelawak Lancar 'Perang'

Artikel Lain