suria

Majlis Kenduri Fizi Ali & Syakilla Khoriri Gamat Gara-Gara Azhael

Persembahan spontan bekas pasangan duo, Azhael iaitu Azhar dan Hael Husaini pada majlis kenduri penyampai radio Suria FM, Fizi Ali dan Syakilla Khoriri mencuri perhatian peminat. Foto Instagram @fizialisuria & @712studios.

MAJLIS kenduri penyampai radio Suria FM iaitu Fizi Ali yang diadakan pada malam Ahad bertukar gamat apabila bekas pasangan duo, Azhael iaitu Azhar dan Hael Husaini membuat persembahan secara spontan khas buat tetamu.

Kemunculan pasangan itu menyanyikan lagu hit mereka, Hujung Waktu mendapat sorakan dan perhatian daripada tetamu yang sudah teruja melihat gandingan mereka semula.

Malah pasangan pengantin, Fizi dan isterinya, aktres Shakilla Khoriri yang sedang bersanding di pelamin turut teruja dan sama-sama mengikut menyanyi lagu didendangkan mereka.

Azhar dan Hael membawa haluan masing-masing sejak setahun lalu.

Hael yang baharu sahaja memenangi Anugerah Juara Lagu ke-32 minggu lalu sebelum itu menyampaikan lagu berhantunya, Jampi buat pasangan mempelai.

Dalam pada itu, Hael yang memuat naik video persembahannya dengan Azhar di Instagram pada malam Ahad sehingga kini mendapat sebanyak 200,000 tontonan selain, 40,000 tanda suka daripada pengikutnya.

Malah ruangan komen juga dihujani lebih 800 komen yang rata-rata menyatakan rasa rindu terhadap gandingan mereka berdua.

Peminat juga meminta agar mereka kembali bersatu sebagai pasangan duo atau sekurang-kurangnya tampil dengan sebuah single duet.

Fizi dan Syakilla bergelar suami-isteri pada Ahad.

"Aura Azhar dan Hael masih kuat. Terubat rindu dapat melihat mereka kembali membuat persembahan bersama-sama.

"Mereka perlu buat 'comeback' atau kembali bersatu menerusi lagu baru!," antara komen peminat di Instagram Hael.

Persembahan spontan itu adalah yang pertama mereka berdua setahun selepas Hael mengumumkan mengundurkan diri daripada Azhael.

Terdahulu, Fizi dan Syakilla diraikan oleh ahli keluarga, rakan artis dan sahabat handai selepas sah bergelar suami-isteri pada sebelah pagi Ahad.

Artikel Lain