suria

Ayah idola Dira, masih ingat pengalaman berkempen

Dira ingin menjadi seperti Allahyarham bapanya, Datuk Seri Abu Zahar. Foto: M. AZHAR ARIF.

PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar menjadikan Allahyarham bapanya, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin sebagai idola dalam hidupnya.

Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 34, berkata dia ingin meneruskan perjuangan bapanya tidak kira dalam industri mana yang diceburinya.

Menurut Dira, dia percaya bahawa setiap apa yang dilakukannya perlu ada niat dan tujuan yang baik.

"Impian saya adalah nak menjadi sehebat arwah ayah. Seorang yang dihormati dan dia sentiasa membantu anak bangsa dan memberi kepada negara dan tempatnya.

"Tak kisah dalam industri apa yang saya diceburi dan tidak semestinya dalam politik. Kalau jadi pelakon pun, kena berkualiti.

Bapa Dira memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada 23 Mei 1997 sehingga 2 Disember 1999.

"Paling penting, dalam apa sahaja yang saya buat, saya percaya kalau kita ada niat dan tujuan yang baik mampu untuk berjaya," kata Dira kepada mStar Online.

Dira antara selebriti yang dilihat sangat aktif dalam bidang politik dan dia juga turut serta dalam berkempen pada Pilihan Raya yang ke-14 (PRU 14) di Melaka.

Kehadirannya di dalam dunia politik itu bertujuan untuk meneruskan legasi Allahyarham bapanya yang dahulu merupakan ahli politik dari negeri Melaka.

"Satu perkara tentang ayah, apa-apa pun niat dia nak tolong anak-anak bangsa. Benda itu membuatkan saya bersemnagat untuk teruskan legasinya.

"Pada masa yang sama, saya ingin berterima kasih kepada semua orang yang pernah bersama ayah dan kepada mereka yang percaya ayah untuk pimpin menjadi masyarakat yang lebih baik.

Dira ingin meneruskan legasi bapanya.

"Tak salah, saya dah kutip pengalaman merantau di Kuala Lumpur dan belajar banyak benda untuk berkongsi dengan mereka di kawasan kampung," ujarnya.

Bekas Ketua Menteri Melaka yang kelapan itu meninggal dunia pada 11 Julai 2013 di kediamannya di Merlimau, akibat kencing manis dan komplikasi buah pinggang.

Dalam pada itu, Dira yang juga exco Puteri Umno, berkongsi detik awal mengikuti bapanya berkempen sebagai wakil rakyat.

Kata Dira, Allahyarham merupakan guru sekolah dan mula menceburi dunia politik pada tahun 1986 di mana ketika itu usianya baru dua tahun.

Dira turut aktif berkempen untuk PRU 14.

"Ayah mula berkempen pada 1986, ketika itu saya baru dua tahun. Proses dia berkempen untuk jadi wakil rakyat.

"Ketika itu, saya tak tahu apa yang dia buat tapi bila dah masuk sekolah menengah baru saya faham tujuan sebenar ayah.

"Setiap kali pulang ke rumah selepas habis majlis dia akan bercerita dengan ibu saya tentang apa yang berlaku.

"Apa yang kita boleh lakukan untuk golongan anak muda dan bangsa. Masyarakat yang macam mana kita nak wujudkan. Itulah ayah," katanya.

Dira Abu Zahar

Artikel Lain