SELEPAS enam bulan berkahwin pelakon Mawar Rashid memberitahu dia masih belum bersedia untuk menimang cahaya mata kerana ingin memberi tumpuan kepada suaminya, Raf Yaakob, 33, terlebih dahulu. Masih dalam fasa bulan madu, Mawar, 23, berkata, usia perkahwinan mereka masih baharu dan buat masa ini dia ingin menghabiskan lebih waktu untuk bermanja dengan suami selain memberi tumpuan kepada dua anak tirinya. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan ingat Mawar Rashid orang senang, jual bedak tampung hidup “Tanggungjawab sebagai seorang ibu itu sangat besar dan luas jadi saya dan suami merancang untuk tidak menambah bilangan ahli keluarga buat masa ini. “Tambahan pula kami baru berkahwin jadi saya nak habiskan masa dengan suami terlebih dahulu. “Namun kalau Allah berikan rezeki untuk memiliki cahaya mata lebih awal daripada apa yang kami rancang sudah tentu saya gembira dan bersyukur,” katanya. Mawar ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu syampu jenama Schwarzkopf yang diadakan pada petang Khamis. Pasangan itu berkahwin pada 9 November tahun lalu selepas tiga bulan mengikat tali pertunangan. Dalam pada itu, Mawar berkata, dia dan Raf masih belum berkesempatan berbulan madu walaupun beberapa kali ke luar negara selepas berkahwin. Jelasnya, mereka ke luar negara sebenarnya atas urusan kerja namun tetap mengambil kesempatan untuk menghabiskan masa bersama sekiranya mempunyai waktu terluang. “Jujurnya kami belum sempat lagi berbulan madu kalau ke luar negara pun kerana ikut suami atas urusan kerja. “Tetapi kami ambil peluang juga bersiar-siar dan menghabiskan masa bersama dan itu pun sebenarnya sudah memadai buat saya,” ujarnya. Mawar bersama suami tercinta, Raf. FOTO: Instagram Mawar. Sementara itu, Mawar berkata, dia beruntung mendapat seorang suami seperti Raf yang disifatkan sebagai seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat tentangnya dan keluarga. “Keluarga adalah yang pertama baginya dan itu satu antara banyak perkara saya belajar tentangnya sejak berkahwin. “Jika dia tidak sibuk dia sentiasa akan membantu menguruskan kerjaya saya termasuk menemani saya ke acara-acara hiburan atau pun lokasi penggambaran. Bercakap mengenai perkembangan terbaharunya, Mawar berkata dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Pok Ya Siti Di Hati untuk siaran pada Aidifitri nanti. Kata Mawar, dia teruja dengan projek berkenaan kerana dia dapat bertutur dalam dialek Kelantan yang juga negeri kelahirannya. Selain itu, Mawar juga bakal menjalani penggambaran drama bersiri Pencuri Cinta Kelas Satu bergandingan dengan rakan baiknya, Emma Maembong.