suria

Bukan kejar nak jadi hero cuma cari wang lebih - Lan Solo

Lan Solo kini bukan sahaja bergelar penyanyi tetapi pelakon.

SEJAK tidak lagi bersama kumpulan Kristal, kerjaya penyanyi Lan Solo semakin berkembang dan dia kini mula menjinak-jinakkan diri dalam bidang lakonan pula.

Diam tak diam, Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, sudah melibatkan diri dalam dua projek drama iaitu telefilem Cokelat Tak Semanis Honey yang menampilkan Siti Nordiana dan Fikry Ibrahim di Astro baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: “Berpisah Tanpa Rela” dedah krisis Lan Solo bersama Kristal

Terbaharu, Lan bakal muncul dalam drama bersiri Pengantin Musim Salju bergandingan dengan Siti Nordiana dan Alif Satar tidak lama lagi.

Bercakap mengenai penglibatannya sebagai pelakon, Lan berkata, dia ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam kariernya dan menyifatkan lakonan bukan semudah disangka.

Selain minat, Lan berlakon kerana ingin menambah pendapatan keluarga.

Tambah Lan lagi, selain minat dia menerima tawaran diberikan kerana ingin mencari wang lebih demi keluarganya tambahan pula waktu penggambaran tidak menganggu persembahan pentas.

"Saya tidak menolak kalau ada lagi tawaran berlakon kerana minat itu memang ada selain boleh mengisi waktu terluang sekiranya tiada undangan persembahan pentas.

"Jujurnya, menerusi lakonan dapat juga saya menambah pendapatan keluarga kerana kebiasaannya saya hanya sibuk pada hujung minggu dan ada waktu terluang pada hari biasa.

"Mengapa tidak saya gunakan waktu itu untuk berlakon dan mencari duit lebih dan dapat juga saya kembangkan bakat lakonan," katanya.

Dalam pada itu, Lan berkata, dia tidak berhasrat untuk menjadikan lakonan sebagai karier utama kerana cintanya masih kepada nyanyian.

Lan tampil dengan single solo pertamanya, Berpisah Tanpa Rela.

Bagaimanapun dia yakin dua cabang seni itu boleh berjalan seiring sekiranya dia bijak membahagikan masa.

"Saya berlakon bukanlah hendak kejar jadi hero ke apa... cuma ingin mencuba kerana minat itu ada.

"Nyanyian tetap nombor satu dan sekali-sekala berlakon apa salahnya... banyak ilmu dapat saya kutip di set penggambaran kerana berlakon bukannya mudah," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Lan baharu sahaja melancarkan single terbaharunya yang berjudul Berpisah Tanpa Rela.

Lan Solo

Artikel Lain