suria

Nabila Razali mohon maaf bertudung singkat

Nabila terima teguran netizen mengenai tudungnya. Foto Instagram: @nabilarazali.

PENYANYI Nabila Razali menerima teguran netizen mengenai tudungnya yang dipakai singkat menerusi video ucapan selamat berpuasa.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 26, berkata dia akan cuba memperbaiki diri menjadi lebih baik.

"Saya terima semua teguran daripada netizen. Niat saya hanya untuk ucapkan selamat berpuasa kepada peminat.

"Tak ada niat apa-apa pun. Insya-Allah saya akan cuba perbaiki mana yang salah dan menjadi lebih baik," kata Nabila kepada mStar Online.

Tambah Nabila, dia enggan mengulas lebih lanjut perkara tersebut dan memohon maaf jika ada yang tidak menyukai video ucapan tersebut.

Video yang dimuat naik Nabila mendapat perhatian netizen.

Malah penyanyi yang terkenal menerusi lagu Pematah Hati ini turut berharap peminatnya mendoakan yang baik-baik untuknya.

"Saya tidak mahu bercakap lebih mengenai perkara ini. Takut nanti ada yang salah anggap dengan kenyataan saya.

"Apa-apa pun, saya minta maaf kepada semua. Saya berharap semua peminat mendoakan yang baik-baik untuk saya, Insya-Allah," ujarnya.

Video ucapan selamat menyambut bulan Ramadan yang dimuat naik Nabila di Instagramnya mendapat perhatian netizen.

Rata-rata menyoalkan gaya pemakaian tudung Nabila yang kelihatan singkat dan mendedahkan bahagian dadanya.

Pengalaman baharu Nabila berpuasa selama 17 jam di Turki.

Dalam pada itu, Nabila yang kini berada di Turki bagi menjalani penggambaran drama terbaharu Cintaku Di Bumi Izmir perlu berpuasa selama 17 jam.

Kata Nabila, dia tidak berasa lapar disebabkan terlalu sibuk menghabiskan penggambaran dan ada hari perlu berbuka puasa di dalam bas.

"Saya akan berada di sini sampai minggu ketiga puasa. Pertama kali saya dapat pengalaman berpuasa selama 17 jam.

"Tapi alhamdulillah, tak ada rasa lapar sangat sebab mungkin sibuk nak habiskan penggambaran dan tak fikir soal makan.

"Ada hari saya perlu berbuka puasa di dalam bas sahaja disebabkan perjalanan pulang ke hotel ambil masa dua jam," katanya.

Nabila Razali

Artikel Lain