suria

Noryn Aziz penyanyi ke pelakon?

PENYANYI Noryn Aziz mengakui ramai tidak mengetahui mengenai karier muziknya walaupun nama dia bukan asing dalam industri muzik tempatan.

Noryn, 41, berkata, perkara itu disebabkan dia mengangkat irama jaz yang tidak ramai mempunyai pengikut seperti mana genre lain dalam kalangan peminat muzik.

"Saya rasa orang kenal siapa saya tetapi mereka tidak tahu sama ada saya penyanyi atau pelakon.

"Mana yang tahu saya penyanyi mereka tidak tahu pula jenis muzik yang saya bawa malah rasanya tak ramai pernah mendengar saya menyanyi," katanya.

Bagaimanapun kata Noryn, perkara itu bakal berubah apabila dia baharu sahaja selesai merakamkan sebuah lagu pop balada ciptaan sepenuhnya oleh Ajai berjudul Percayakan Cinta.

Noryn bersama anak lelakinya, Raja Bariq Umar Shah.

Tambah menarik kata Noryn, dia berduet dengan penyanyi Hazama menerusi lagu itu yang juga lagu runut bunyi filem Kalla yang akan berada di pawagam tidak lama lagi.

"Ini kali pertama dalam sejarah karier saya berduet dan sebenarnya saya sangat teruja apabila digandingkan dengan Hazama.

"Menerusi lagu Percayakan Cinta saya banyak belajar memandangkan pengalaman saya menyanyikan lagu Melayu agak terhad.

"Suara Hazama tidak perlu dipertikaikan lagi dan ia sangat membantu ketika saya rakamkan bahagian saya," katanya.

Sementara itu, Noryn berkata, dia berharap lagu duet itu dapat diterima baik oleh pendengar selain akan memperkenalkannya kepada lebih banyak peminat.

"Sebelum ini pernah merancang nak buat lagu duet tapi asyik tak menjadi kerana pelbagai faktor termasuk bajet.

"Akhirnya dapat juga dan harap-harap pendengar akan suka dan memperkenalkan nama Noryn Aziz kepada lebih ramai pendengar muzik tempatan," katanya.

Noryn Aziz

Artikel Lain