PASANGAN pelakon Hanis Zalikha dan Hairul Azreen memilih untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di Australia selama seminggu dan akan bertolak pada 3 Syawal. Hairul, 30, berkata dia mengambil kesempatan untuk bercuti ke luar negara kerana ingin menghabiskan masa berkualiti bersama isteri dan anaknya, Yusof Iskandar memandangkan dia kurang meluangkan masa bersama mereka sejak kebelakangan ini. "Saya sebenarnya tidak bercuti sejak Disember tahun lalu kerana terikat dengan pelbagai komitmen termasuk terlibat dengan penggambaran filem Paskal. "Sejak itu saya kurang meluangkan masa berkualiti dengan keluarga dan percutian ini adalah untuk kami menghabiskan masa bersama. Hairul bersama isteri dan anak mereka, Yusof Iskandar. "Insya-Allah jika tiada aral melintang kami akan bertolak ke Australia pada 3 Syawal jadi sempat beraya dahulu," katanya. Dalam pada itu, Hairul berkata, keluarganya termasuk ibu bapanya juga akan mengikuti rombongan ke Australia sebagai percutian keluarga. Katanya, pada Oktober depan dia akan membawa keluarga Hanis pula untuk bercuti ke Jepun. Sementara itu, Hairul berkata, jadualnya akan kembali padat selepas kembali daripada bercuti termasuk menghabiskan baki penggambaran filem Paskal.