KEHILANGAN ibu aktres Vanidah Imran iaitu Shariffah Bee Abdul Majid Pada Disember lalu pasti memberi suasana berbeza pada hari raya Aidilfitri kali ini. Vanidah atau lebih mesra dengan sapaan Vee, 45, ini berkata, dia dan keluarga memilih untuk merayakan Aidilfitri secara bersederhana. "Tahun ni berbeza kerana ibu saya baru meninggal dunia. Jadi kami mahu sambut Aidilfitri dalam keadaan sederhana sahaja. "Tapi masih lagi masak untuk abah dan anak-anak. Ahli keluarga dan sanak saudara lain juga akan datang untuk ziarah abah," ujarnya kepada mStar Online. Vanidah Imran. Allahyarham meninggal dunia pada 24 Disember lalu akibat komplikasi jantung, Isteri kepada aktor Rashidi Ishak ini berkata, dia akan mengambil tanggungjawab memasak pada malam raya yang dahulu dilakukan oleh arwah ibunya. Dia juga bersyukur dapat belajar semua resipi masakan yang menjadi makanan kegemaran keluarga. "Dulu mak saya yang akan masak kerana kalau dia masuk dapur saya akan keluar dan kalau saya masuk saya akan suruh dia keluar sebab kami tidak suka diganggu ketika masak. "Dia juga memang ajar saya masak semua makanan kegemaran keluarga kami kerana dia selalu berpesan jika dia tiada suatu hari nanti susah jika tidak pandai memasak. Vanidah bersama suami, Rashidi Ishak. "Makanan utama dan wajib pada hari raya ialah kurma kambing. Keluarga kami pelik sedikit kerana ayah saya mualaf," ujarnya. Sementara itu, Vanidah berkata, arwah ibunya juga pengemar kuih raya dan akan memastikan kuih raya penuh di atas meja pada malam raya. Namun, tahun ini katanya, hanya enam jenis kuih sahaja yang akan dihidangkan kepada tetamu. "Emak saya suka sangat kuih raya dan dia akan pastikan penuh satu meja. Saya dan adik saya pula tidak suka banyak-banyak kerana membazir. "Tahun ini ada enam jenis sahaja di atas meja. Banyak-banyak pun takut tiada yang makan," ujarnya.