suria

Kesan perceraian, Remy Ishak akhirnya ‘Pulang’ jumpa bapa

Remy merapatkan diri dengan bapanya semenjak membintangi filem Pulang. Foto: NORAFIFI EHSAN.

KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak mendedahkan hubungan dia dan bapanya semakin rapat semenjak membintangi filem Pulang pada dua tahun lalu.

Remy, 36, berkata skrip dan jalan cerita filem itu yang mengisahkan seseorang kehilangan bapa telah membantu memulihkan hubungan dia dan bapanya.

"Ibu dan bapa saya bercerai ketika umur saya 13 tahun. Bapa saya seorang yang garang sebab dia bekas askar. Selepas mereka berpisah, saya tak berhubung dengan dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu-Bapa Berpisah Punca Remy Ishak Ambil Masa Mahu Kahwin

"Apabila saya baca skrip dan jalan cerita filem Pulang, saya dapat rasakan bagaimana kehilangan seorang bapa. Dari situ, saya mula merapatkan diri dengan bapa saya.


Remy semakin rapat dengan bapanya.

"Alhamdulillah, semenjak itu hubungan kami semakin rapat. Kadang-kadang skrip sesebuah karya ni mampu membuatkan kita memperbaiki diri," kata Remy kepada mStar Online.

Remy ditemui ketika sidang media filem Pulang yang diadakan di Ruyi & Lyn Restaurant and Lounge, Bangsar Shopping Centre, di sini pada Selasa.

Sebelum ini pemilik nama Mohammad Zalimei Ishak pernah mengakui dia belum bersedia berkahwin kerana tak ingin melalui pengalaman seperti ibu bapanya yang pernah bercerai.

Dalam pada itu, Remy berkongsi pengalaman dan cabaran memegang watak sebagai Othman menerusi filem arahan Kabir Bhatia itu.

Menurut Remy, berat badan dia menurun dari 76 kilogram hingga 69 kilogram sepanjang menjalani penggambaran berkenaan.

Barisan pelakon filem Pulang yang akan berada di pawagam pada 26 Julai depan.

"Saya memang perlu menurunkan berat badan untuk watak Othman. Tapi hanya dalam turunkan lebih kurang 7 kilogram.

"Kalau ikutkan nak kurus lagi tapi tak cukup masa. Itupun berat saya turun sebab bekerja keras ketika jalani penggambaran filem itu," ujarnya.

Selain Remy, antara teraju utama filem itu adalah Puteri Aishah, Fatimah Abu Bakar, Azrel Ismail, Erwin Darson, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Filem epik itu merupakan filem terbesar terbitan Primeworks Studios yang mengeluarkan bajet sebanyak RM 6 juta.

Pulang yang mengisahkan mengenai kehidupan seorang lelaki berasal dari Serkam, Melaka berlayar ke serata dunia itu bakal bertemu penonton pada 26 Julai depan.

Remy Ishak

Artikel Lain