suria

Peminat sangka Fitri Haris bertunang, bapa tampil dedah perkara sebenar

Ramai peminat mengucapkan tahniah kepada Fitri Haris. Foto Instagram @fitriharisofficial

TINDAKAN penyanyi nasyid Fitri Haris memuat naik gambar seorang wanita jelita dalam suasana dipercayai majlis pertunangan menimbulkan tanda tanya pengikutnya di Instagram.

Ramai menyangka juara program Gema Gegar Vaganza 2 itu melangsungkan pertunangan walaupun penyanyi itu tidak menyatakan secara jelas siapakah sebenar gerangan wanita tersebut.

Menerusi kapsyen gambar itu, Fitri hanya memberitahu ayahnya, Muhammad Haris menjadi wakil pada majlis yang diadakan di Kota Tinggi Johor itu.

"Semoga segalanya dipermudahkan... Hanya tuhan yang tahu wahai kekasih. Ayah saya @muhammadharis3829 mewakili di belakang. Amin #wahaikekasihku," tulisnya.

Posting Fitri di Instagram mengundang tanda tanya pengikutnya.

Dalam pada itu, Fitri, 34, menerima banyak ucapan tahniah daripada peminatnya di ruang komen posting berkenaan walaupun berasa terkejut dengan berita tersebut.

Pun begitu, ada di antara pengikutnya yang musykil dengan majlis itu dan menganggap ia sekadar gimik memandangkan Fitri bakal melancarkan single terbaharunya, Wahai Kekasihku pada Isnin ini.

Sementara itu, menerusi ruang komen tersebut, bapa Fitri dilihat ada membalas pertanyaan pengikutnya dan memberitahu ia bukan majlis pertunangan penyanyi itu seperti disangka.

Sebaliknya kata Muhammad Haris, majlis itu sebenarnya adalah pertunangan sepupu Fitri.

Sebelum ini Fitri pernah berkahwin namun rumah tangga berakhir dengan perceraian sekitar lapan tahun lalu.

Fitri Haris, Gema Gegar Vaganza

Artikel Lain