BERSEMPENA ulang tahun kelahiran ke-35 suaminya, pelakon Nabila Huda mendedahkan sikap sebenar lelaki itu yang mungkin tidak diketahui oleh orang lain menerusi Instagram.
Nabila, 34, memberitahu Izwan atau lebih mesra dengan panggilan Bert, bukan sahaja seorang yang berhati baik dan penyayang malah sangat melindungi keluarganya.
Paling penting kata Nabila, suaminya itu sudah menganggap anaknya hasil perkahwinan terdahulu iaitu Keisha Laila seperti anak kandungnya sendiri.
"Bila kita pertama kali jumpa, sudah jelas betapa kelakarnya awak. Dan selepas itu saya belajar, di sebalik semua itu, ada seorang lelaki berhati baik, penyayang dan pelindung.
"Paling penting, awak sayang Keisha macam anak sendiri. Walaupun kadang-kadang terlampau juga sampai kita rasa tersisih. Haha ada juga eh drama.
"Sejujurnya, saya jatuh cinta dengan awak setiap hari! Awak adalah ubat yang sempurna dan saya ketagih dengan awak," tulisnya.
Nabila turut memuat naik dua video romantik dia bersama suaminya di Instagram.
Tambah anak kepada penyanyi Amy Search ini, Bert adalah orang yang sentiasa berada di sisinya di waktu susah dan senang.
Nabila menganggap suaminya itu adalah janji daripada Allah untuk menemaninya hingga ke akhir hayat.
"Awak sentiasa buat saya ketawa, mengusap air mata saya, peluk saya dengan erat, melihat saya berjaya, meihat saya gagal, bersorok untuk saya dan pastikan saya terus kuat.
"Suami saya adalah janji daripada Allah yang saya akan ada kawan untuk selama-lamanya. Saya ada kehidupan sebelum jumpa awak tapi awak yang memberikan ia bermakna," katanya.
Dalam pada itu, pelakon drama bersiri KL Gangster Underworld ini juga berterima kasih kepada suaminya atas segala yang telah diberikan.
Keluarga bahagia Nabila bersama suami dan anaknya, Keisha.
Nabila juga sempat berseloroh dengan mengatakan suaminya patut bersyukur memiliki seorang isteri yang baik dan cantik biarpun mempunyai perangai 'gila'.
"Terima kasih untuk segala yang awak telah berikan kepada saya. Masa, penjagaan, perhatian dan layan je kerenah isteri mu yang drama ni.
"Jadi, pada hari lahir awak patut bersyukur sebab memiliki seorang isteri yang baik, dicintai, cantik dan gila.
"Selamat hari lahir lelaki yang paling baik di dunia! Saya cinta awak!" katanya.
Nabila dan Bert berkahwin pada 25 Disember 2015 di Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Dia sebelum ini pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani namun mereka bercerai pada 2011 selepas tiga tahun bersama.
Hasil perkahwinan itu mereka mendapat seorang anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia lapan tahun.