PENYANYI Wani Kayrie menyedari ada segelintir pihak tidak berpuas hati cara dia memberi respons terhadap komen juri di Konsert Big Stage setiap minggu. Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 18, berkata dia memohon maaf atas tindakan tersebut yang menimbulkan rasa kurang selesa kepada banyak pihak. "Assalammulaikum. Selepas melihat semua mesej di Instagram (DM), Twitter dan sebagainya. "Sepertinya ramai yang marah dan tak puas hati akan cara Wani beri maklum balas atas komen Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza)/FT (Faizal Tahir)/juri jemputan setiap minggu. Netizen menegur cara Wani memberi maklum balas terhadap komen juri. "Wani mohon maaf kalau tindakan Wani itu menimbulkan rasa kurang selesa kepada segelintir pihak," kata Wani menerusi laman Instastory miliknya. Ada segelintir netizen menegur cara dia respons ketika juri iaitu Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan juri jemputan memberi komen terhadap persembahannya. Penyanyi lagu Aku Suka Kamu ini memberitahu bagi orang yang mengenali dirinya tahu dia seorang yang cepat memberi respons sebagai tanda hormat. Bagaimanapun, Wani terima semua teguran yang dihantar secara peribadi dan berharap peminat tidak berhenti menyokongnya. Wani mohon maaf atas tindakannya yang tidak disengajakan. "Tetapi bagi yang mengenali saya, itulah saya. Cepat memberi respons sebaik saja seseorang bercakap dengan saya. Tidak kira di mana jua atas tanda hormat. "Deep down, saya mohon maaf sekali lagi atas kesilapan saya dan terima kasih kepada semua yang menegur secara peribadi. Kadang Wani sendiri tak perasan. "Wani terima semua teguran dengan hati terbuka untuk kebaikan semua. Jangan berhenti menyokong. Terima kasih atas perhatian anda," ujarnya. Wani masih meneruskan perjuangannya di atas pentas Big Stage bersama penyanyi Ariff Bahran, Afieq Syazwan, Shafiq Farhain, Baby Shima dan Sarah Suhairi. Program Big Stage bersiaran secara langsung di Astro Ria dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.