suria

Sumbang punca Farawahida gagal ke separuh akhir GV5

Farawahida tersingkir. Foto: Astro Gempak

SHAH ALAM: Perjuangan Farawahida terhenti apabila diumum tersingkir sekaligus gagal mara ke konsert separuh akhir Gegar Vaganza musim kelima (GV5) minggu hadapan.

Farahwahida yang menyanyikan lagu Ayat-Ayat Cinta mendapat markah terendah pada konsert yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, Ahad.

Juri tetap Datuk Ramli MS berkata, penyanyi tersebut melakukan banyak kesalahan dan sumbang.

“Dia banyak melakukan kesalahan dan banyak kedengaran sumbang.

“Dekat telinga saya kedengaran sangat jelas. Saya menilai dengan adil dan saya mendengar setiap suku kata dia ada buat kesalahan menyebabkan markahnya rendah,” ujarnya.

Peserta yang mara ke peringkat seterusnya ialah Noryn Aziz, Amelina, Zamani, Hetty Sarlene, Mya Ruslee dan Billy Zulkarnain.

Turut mara ke minggu separuh akhir adalah Dia Fadila, Zamani dan Forteen. Kesemua peserta diadili oleh dua juri profesional iaitu Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim, manakala Datuk Ahmad Tarmimi Siregar tampil sebagai juri jemputan.

Ia dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse.Bintang Cuckoo Paling Gempak minggu ini menjadi milik Zamani.

GV5 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

Gegar Vaganza, farawahida

Artikel Lain