suria

Hadiah sebentuk cincin bukan beri bayangan nak kahwin - Zara Zya

Kejutan Hafreez buat Zara bukan memberi bayangan mereka bakal berkahwin. Foto Instagram: @zarazya.

PELAKON Zara Zya menafikan foto kekasihnya, Hafreez Adam memberi kejutan hadiah sebentuk cincin merupakan bayangan mereka berdua bakal berkahwin.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 33, berkata dia memuat naik foto tersebut hanya ingin berkongsi momen gembira sahaja.

"Sebenarnya foto yang saya memuat naik itu bukanlah memberi bayangan atau gambaran apa-apa yang mengatakan kami bakal berkahwin.

"Cuma, saya mahu berkongsi waktu-waktu gembira dengan peminat di laman sosial sahaja," kata Zara ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Zara Zya akui "tak patut muat naik status tu"


Foto yang dimuat naik Zara menimbulkan tanda tanya peminat.

Zara diminta mengulas mengenai foto Hafreez menyarungkan sebentuk cincin di jarinya sehingga meninggalkan tanda tanya peminat di laman sosial.

Hafreez turut memuat naik video dia membuat kejutan tersebut di laman Instagram miliknya pada Sabtu.

Tambah pelakon drama bersiri Mona Lisa ini, dia bertambah terkejut apabila Hafreez membuat kejutan yang diluar jangkaannya.

Menurut Zara, Hafreez sengaja lewat membuat kejutan tersebut bersempena menyambut ulang tahun kelahirannya pada 22 Oktober lalu.

"Sejujurnya, cincin itu hanyalah hadiah hari lahir saya sahaja. Hafreez sengaja nak sambut hari kelahiran saya lewat sebab tak nak saya syak apa-apa.

Zara dan Hafreez mula rapat semenjak bergandingan menerusi drama Mona Lisa.

"Sudah tentulah saya terkejut dengan apa yang dia buat. Tapi lagi terkejut dapat cincin itu," ujarnya.

Sebelum ini menerusi laporan mStar Online pada 23 September lalu, Zara pernah memuat naik status seakan menggambarkan hubungannya dengan Hafreez mempunyai masalah.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Tiada Dendam ini menganggap apa yang berlaku antara mereka berdua adalah asam garam pasangan bercinta.

Hubungan cinta pasangan itu terjalin sejak tahun lalu ketika mereka bergandingan menerusi drama bersiri Mona Lisa.

View this post on Instagram

Shhh.

A post shared by Hafreez Adam (@hafreezadam) on

Zara Zya, Hafreez Adam

Artikel Lain