JANGAN tak tahu, penyanyi Aiman Tino bukan sahaja hebat di pentas nyanyian malah turut memiliki kemahiran dan kebolehan memasak. Aiman sempat menunjukkan bakatnya memasak hidangan Char Kuetiau semasa kunjungan mStar Online ke Restoran Asam Pedas milik keluarganya, di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Menurut Aiman, 20, dia mempelajari mengenai masakan menu tersebut sejak berusia 12 tahun dan menggunakan resipi daripada keluarganya sendiri. Aiman Char Kuetiau popular di Kuala Kubu Bharu. "Saya belajar memasak Char Kuetiau semasa darjah enam dan mula memasak untuk pelanggan ketika berusia 14 tahun. "Hampir setahun saya belajar cara memasak menu ini dan bila sudah benar-benar yakin baru saya berani masak untuk pelanggan di kedai kami. "Sebenarnya hidangan ni mudah sahaja dan tak terlalu rumit. Yang penting bahan-bahan cukup dan cara masakan itu betul, pasti sedap. Oh ya, api jangan terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan," katanya kepada mStar Online. Aiman (tengah) dan kakaknya, Fara Hezel selalu membantu ibu bapa di restoran. Restoran Asam Pedas itu sudah beroperasi hampir dua tahun di Dataran Kuala Kubu Bharu, Selangor dan dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula pukul 12 petang sehingga 12 tengah malam. Selain Char Kuetiau, ia turut menyediakan menu lain antaranya pelbagai hidangan asam pedas dan masak lemak. Sementara itu, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci ini memberitahu sebelum bergelar penyanyi dia merupakan seorang tukang masak di restoran tersebut. Aiman turut menjadi pelayan di restoran berkenaan. Beruntung pelanggan menerima tempahan dari Aiman! Setelah bergelar penyanyi, Aiman berkata dia terpaksa mencuri masa membantu di restoran dan sesekali dia akan turun menyediakan hidangan untuk pelanggan yang bertuah. "Semasa saya jadi tukang masak untuk gerai Char Kuetiau dulu, pernah ada sehari tu saya masak hampir 200 pinggan untuk pelanggan. Sebelum ini, gerai kami di tempat lain. "Memang tak menang tangan, tapi saya rasa puas sebab dapat menyiapkan hidangan yang sedap serta dibuat ikhlas daripada hati untuk pelanggan. Ibu bapa Aiman, Yusry dan Hazelina. "Sekarang ni bila dah jadi penyanyi, agak susah nak bantu kerana jadual agak padat. Kalau peminat datang masa saya ada di restoran dapatlah merasa air tangan saya ni," ujarnya. Bercakap mengenai perkembangan terkini, Aiman berkata dia bakal mengeluarkan single baharu berjudul Terlerai Sebuah Janji. Lagu ciptaan Ack dan lirik oleh Riena ini akan dilancarkan pada 28 November ini. "Single ini masih mengekalkan tema cinta dan kekecewaan dalam perhubungan. Insya-Allah semua peminat akan suka dan jangan lupa dengarkan di semua platform nanti ya,” katanya.