suria

Ellie Suriaty terima segala risiko termasuk rela dipenjarakan

Ellie kesal dikecam rakan artis.

PELAKON dan pengarah Ellie Suriaty Omar mengejutkan dunia hiburan apabila dia terlibat menyertai perhimpunan dan demonstrasi anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi sokongan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Ellie, 48, yang kini mahu dikenali sebagai aktivis politik tekad dengan perjuangannya menyokong parti Umno dalam membela nasib generasi akan datang.

Menerusi satu temubual eksklusif, mStar cuba menyelami isi hati pengarah filem ini selain berkongsi pandangan tindakan tersebut memberi implikasi kepada kerjaya seni dan keluarganya.

Ellie muncul memberi sokongan kepada Najib di Komplaks Mahkamah Jalan Duta.

Apa reaksi suami dan anak-anak apabila ramai yang mengkritik dan mengecam perjuangan Ellie dengan lemparan kata-kata tidak sepatutnya?

Secara jujur suami saya baca komen-komen netizen dan dia juga berasa marah apabila orang bercakap macam-macam tentang saya.

Dia juga takut dan bimbang saya ditangkap dan dipenjarakan, tapi dia tahu apa yang saya perjuangkan dan merestui perjuangan ini. Dia tahu saya lakukan ini untuk masa depan generasi akan datang. 

Anak- anaknya kami matang dan menerima apa yang saya lakukan. Baru-baru ini mereka minta saya datang ke sekolah kerana ada menyertai teater dan saya bertanya sama ada betul ke mereka mahu saya datang?

Saya pula bimbang apa dan bagaimana pandangan kawan-kawan mereka terhadap saya? Tapi mereka tetap mahukan saya datang menyaksikan teater itu tanpa rasa malu. 

Suami dan anak-anak faham perjuangan Ellie.

Sejak terlibat dengan gerakan menyokong Najib dan Umno bagaimana perjalanan kerjaya seni Ellie?

Saya tidak digam mana-mana pihak tapi saya faham kalau mereka tidak lagi panggil saya. Saya tidak rancang ini akan berlaku tapi ini terjadi. Saya tidak persoalkan kenapa Allah pilih saya. Saya ditakdirkan untuk lalui perjalanan ini untuk masa depan rakyat. 

Ellie, apa yang Ellie lakukan bukan saja dikritik netizen tapi kawan-kawan Ellie sendiri... artis!

Secara asas politiknya kalau ingin menghentam kena faham apa yang diperjuangkan. Kalau nak hentam saya tentang sesuatu isu individu itu kena faham tetang isu itu bukan menuduh saya minum ketum. Apa tu?

Pada saya itu tak matang. Dia seorang tukang masak (merujuk kepada Chef Wan), dia tahu ketum pun boleh jadi herba yang baik untuk kesihatan. Apa yang saya nak beritahu adakah setakat itu sahaja serangannya? 

Chef Wan antara selebriti yang lantang mengkritik tindakan Ellie.

Ada segelintir pihak membuat tuduhan dengan menganggap tindakan Ellie terjerit-jerit di khalayak sebagai tidak waras, apa pendapat Ellie?

Ada yang tuduh saya terjerit-jerit itu hanyalah lakonan saya, itu tuduhan biadab! Hanya kerana saya seorang anak seni, saya diminta berdiam dan dicemuh kerana hak saya bersuara? Sepatutnya mereka tanya kenapa saya marah? Takkan saya nak marah saja-saja. Untuk membangkitkan perasaan rakyat, boleh ke bercakap seperti dalam kelambu?

Ellie boleh jelaskan tanggapan anda dibayar untuk perjuangan itu?

Kalau saya dibayar perjuangan saya berbeza. Mana mungkin seseorang mengorbankan kasih sayang terhadap bidang seni dengan imbuhan wang. Saya dapat kecaman yang sangat hebat tapi saya tidak hirau kerana saya bercakap benar.

Ellie nafi perjuangannya dibayar pihak tertentu.

Sejauh mana anda mengenali Najib secara peribadi dan jasa apakah Najib terhadap Ellie? 

Saya tidak mengenali beliau secara peribadi, malah saya tidak pernah hadir pada majlis-majlis yang dianjurkan untuk anak seni sebelum ini. Saya mula mengenali beliau dalam tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu apabila mula mengikuti perkembangan politik pada PRU tersebut.

Beliau dijatuhkan menerusi perang persepsi dan saat itu saya mula meneliti tentang hala tuju politik tanah air dan mengkaji pemimpin-pemimpin politik.

Sejauh mana Ellie bersedia dengan perjuangan ini?

Tidak ada sesiapa  yang boleh menghentikan perjuangan ini dan saya sedia dipenjarakan jika dianggap sebagai satu ancaman.

Ellie Suriaty, Najib Razak

Artikel Lain