PENYANYI Aiman Tino memberitahu dia lebih mementingkan jumlah tontonan muzik video lagu terbaharunya, Terlerai Sebuah Janji berbanding komen daripada netizen. Aiman atau nama sebenarnya Mohammad Aiman Yusri, 20, berkata buat masa kini dia masih belum lagi membaca komen atau kritikan mengenai lagu terbaharunya itu. "Sebenarnya saya lebih pentingkan jumlah tontonan muzik video itu. Sebab itu, saya fokus promosi di laman sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Tino terima rawatan akibat sakit dalam perut Lagu Aiman terbaru sudah mencecah lebih 380,000 tontonan di Youtube. "Buat masa sekarang ini, memang saya belum lagi baca komen-komen atau kritikan daripada netizen. "Bukan tak nak baca, tapi relax dulu. Tapi kalau ada yang mesej di Instagram, saya memang akan tengok," kata Aiman kepada mStar Online. Lagu ciptaan ayah dan ibu Aiman itu mula dilancarkan di semua platform pada 27 November lalu dan kini sudah mendapat lebih 382,000 tontonan di Youtube. Menurut Aiman, lagu tersebut sudah dirakam pada Mei lalu namun dia memberi ruang kepada penyanyi lain di bawah syarikat pengurusan yang sama untuk keluarkan lagu mereka terlebih dahulu. Aiman bersyukur lagu terbaharu diterima baik. "Saya rakam lagu itu sejak bulan Mei lalu. Kalau ikutkan, sudah 10 bulan saya tak keluarkan lagu baharu. "Tapi bukan sebab tak nak produk. Cuma pihak pengurusan ada ramai artis lagi. Jadi ikut giliran. Saya bagi ruang untuk keluarkan lagu mereka dahulu," ujarnya. Dalam pada itu, penyanyi lagu Ku Rela Dibenci ini meluahkan rasa syukur apabila ramai pendengar menerima baik single terbaharunya tersebut. "Alhamdulillah, terima kasih kepada yang terima lagu itu dengan baik. Mungkin sekarang ni pun netizen dah ramai ke arah yang positif," katanya.