suria

“Ibu kenal kawan saya, lelaki mesej pun dia tahu” – Masya Masyitah

Masya selesa berkongsi banyak perkara dengan ibu.

PENYANYI Masya Masyitah berkata ibunya iaitu Zalilah Mat Noor menjadi tempat dia meluahkan perasaan dan berkongsi hal peribadi termasuklah soal cinta.

Meskipun sentiasa ditemani ibu, Masya atau nama sebenar Siti Nurmasyitah Yusoff, 18, memberitahu dia tidak pernah berasa dirinya dikongkong.

"Saya berasal dari Kulim, Kedah, apabila merantau ke Kuala Lumpur, ibu yang menemani saya di sini. Ke mana sahaja saya pergi, dia akan temankan dan saya rasa lebih selesa jika ada ibu bersama.

"Tak pernah rasa terkongkong atau disekat, malah, rasa lebih selamat dan senang untuk berkongsi masalah dan bertanyakan pendapat termasuklah soal cinta.

Masya bersama ibu kesayangannya.

"Kalau ada yang hantar mesej peribadi cuba 'mengorat' di Instagram pun ibu akan tahu dan dia kenal semua kawan-kawan saya," katanya kepada mStar Online.

Sementara itu, penyanyi yang mula dicungkil bakat menerusi program realiti Ceria Pop Star musim kedua pada tahun 2014 ini mengakui pernah dilamar suami orang.

Menerusi mesej peribadi di Instagram, lelaki tersebut meluahkan hasrat untuk mengenalinya dengan lebih rapat.

"Pernah ada kejadian seorang suami orang cuba mengorat saya di laman tersebut. Dia menyatakan minat untuk kenal saya.

Masya bersama rakan artis, Ara Johari.

"Apabila saya stalk, rupanya dia dah kahwin. Saya terus jauhkan diri. Tak mahu mengganggu rumah tangga orang lain.

"Kalau tanya ciri-ciri lelaki pilihan saya mahu yang masih bujang, tinggi, baik, bertanggungjawab, beriman dan tidak merokok," katanya.

Bercakap mengenai karier nyanyian, Masya kini sedang sibuk mempromosikan single baharu berjudul Halimunan ciptaan Omar K , Blaine Bakri dan John Jeevasingham.

Video muzik lagu tersebut telah dimuat naik di Youtube dan telah menerima lebih satu juta tontonan sejak Oktober lalu.

Artikel Lain