GARA-GARA foto berpakaian seperti duyung tular di media sosial, kakak kepada pelakon Emma Maembong iaitu Beby Maembong menerima kecaman netizen.
Menjawab tuduhan tersebut, Beby atau nama sebenar Nurulaini Ismail, 29, memberitahu dia merupakan seorang wanita sejati dan telah memiliki empat orang cahaya mata.
"Dari dulu orang tak percaya saya perempuan, saya wanita tulen. Saya sudah berkahwin dan merupakan ibu kepada empat orang anak kandung.
"Tak tahu dekat mana yang nampak macam pondan tu sampai saya dituduh sedemikian oleh netizen, rasa kecil hati bila tengok komen tu.
Beby menerima tuduhan kononnya dia bukan wanita sejati.
"Mungkin isu sensitif yang sedang hangat diperkatakan membuatkan kita yang wanita asli ni pun turut terpalit sama," katanya.
Sementara itu, Beby berkata tuduhan itu tidak berasas dan menafikan dia telah menjalani pembedahan pada tubuh untuk kelihatan sempurna.
Bagaimanapun, model dan usahawan Slimdollz ini enggan ambil pusing dengan kecaman tersebut kerana ia sama sekali tidak benar.
"Bila kita terlalu ambil berat tentang tubuh dan wajah, orang kata kita pondan pula, bagi saya, biasalah perempuan dan kecantikan.
"Yang tak masuk akal, saya kata pinggang saiz 23 inci pun orang tuduh kononnya buat pembedahan untuk nampak sempurna.
"Kalau masih ada yang nak kata saya ni bukan wanita tulen, terpulanglah. Saya dah tunjuk bukti dengan tayang suami dan anak-anak. Saya tak mahu simpan dendam dan bersedia memaafkan mereka," ujarnya.
Menerusi Instagram, Beby turut meluahkan kekecewaan dan menjelaskan berulang-kali mengenai status dan jantina dirinya itu.
Rata-rata pengikut meminta dia terus bersabar dan mengabaikan komen negatif yang dilemparkan tersebut.