PENYAMPAI radio Suria FM, DJ Lin memaklumkan stesen tersebut dalam perancangan untuk mencari penyampai junior bagi mengendalikan program Suria Cinta. Menurut DJ Lin atau nama sebenar Roslinda Abd Majid, 40, sudah tiba masanya dia mencari bakat baharu untuk segmen radio pilihan rakyat Malaysia itu. "Saya sedang mencari lelaki atau perempuan berusia di bawah 30 tahun untuk menjadi penyampai junior bagi segmen Suria Cinta. "Bukan mudah untuk mencari pelapis tersebut kerana kita perlukan seseorang yang benar-benar ikhlas berbicara tentang cinta dan seorang yang jiwang," katanya kepada mStar Online. DJ Lin ditemui semasa Parti ulang tahun ke-11 Suria FM yang diadakan di Restoran Tony Roma's cawangan Setia City Mall, Setia Alam, Selangor pada Sabtu lalu. Selain penyampai Suria, parti tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi iaitu Datin Alyah, Tajul dan Sissy Imann serta peminat bertuah. DJ Lin (tengah) bersama barisan penyampai Suria, penyanyi jemputan dan peminat di Parti ulang tahun ke-11 Suria FM. Segmen Suria Cinta bersiaran setiap hari Ahad hingga Jumaat, pukul 8 malam hingga 1 pagi. Sementara itu, DJ Lin yang juga merupakan Pengurus Program Suria FM memberitahu mereka bakal mengadakan sesi ujibakat mencari calon sesuai bermula awal tahun depan. Dia turut mengalu-alukan penyertaan mana-mana pihak untuk menjadi penaja bagi merealisasikan program realiti radio tersebut. "Sekarang ini perbincangan dalaman sedang dilakukan dan kita nak buka peluang kepada mana-mana syarikat atau individu untuk menjadi penaja supaya program realiti ini menjadi lebih besar dengan sokongan lebih ramai pihak. "Insya-Allah uji bakat akan diadakan di seluruh Malaysia. Bukan hanya penyampai Suria Cinta, malah kita mencari bakat untuk segmen lain juga. Ujibakat pencarian penyampai junior akan diadakan awal tahun depan. "Peserta yang terpilih akan diberi pendedahan mengenai dunia penyampaian radio dan mereka perlu menyelesaikan beberapa tugasan. Pemenang akan diberi peluang bekerja bersama Suria FM dan menerima hadiah sampingan," ujarnya. Ditanya adakah dia bakal menyerahkan segmen tersebut kepada penyampai baharu itu, DJ Lin berkata dia tetap akan mengendalikan program tersebut. "Bukan mahu tinggalkan Suria Cinta, saya cuma mahu cari junior yang akan bersama-sama mengendalikan segmen tersebut. "Memandangkan saya agak sibuk dengan tugasan pengurusan, saya rasa sudah tiba masanya saya membentuk seseorang yang akan membawa imej kerjaya ini ke tahap lebih tinggi," katanya. Untuk maklumat lanjut mengenai pencarian bakat baharu penyampai Suria, boleh dengarkan Suria FM atau layari laman web rasmi www.suria.my atau ikuti laman sosial stesen berkenaan.