suria

Norman KRU tak minat jawatan tertinggi Finas

Norman Abdul Halim memberitahu ada calon lebih baik berbanding dirinya untuk menerajui Finas.

PENGARAH Urusan KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim merasakan ada calon lebih layak berbanding dirinya untuk memegang jawatan tertinggi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Norman berkata, beliau sendiri tidak mengetahui bagaimana namanya boleh tersenarai sebagai tiga calon yang disebut-sebut untuk memegang jawatan itu.

"Errr... Macam mana nama saya boleh termasuk dalam senarai ini?

"Kita biar yang lain-lain lebih layak jadi pengerusi dan ketua pengarah," katanya menerusi Instagram.


Norman sendiri tidak tahu bagaimana namanya boleh disebut-sebut sebagai calon. 

Laporan sebuah akhbar pada Jumaat menyebut nama Norman bersama dua lagi calon iaitu Datuk Hans Isaac dan Ahmad Idham antara nama penggiat seni yang disebut-sebut bakal mengisi jawatan tertinggi Finas.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Eddin Syazlee Shith berkata, kementerian sudah menyenaraikan nama baharu yang akan mengisi jawatan tersebut.

Bagaimanapun pengumuman itu akan dibuat oleh Menteri KKMM, Gobind Singh Deo dalam masa terdekat.

Norman Abdul Halim, Finas

Artikel Lain