AKTRES Maya Karin berkongsi kejadian cemas apabila baju dan seluarnya terbakar selepas disambar api lilin yang dihias dalam sebuah bilik persalinan. Maya yang menukar baju dalam bilik berkenaan hanya menyedari pakaiannya terbakar selepas kembali untuk menukar semula baju berkenaan yang ditempatkan di bilik itu. “Sekali tu saya ada buat kerja sebagai pengacara majlis. Saya perlu tukar baju dengan cepat di bilik persalinan. “Pihak penganjur pula hias bilik secantiknya dengan meletakkan bunga dan lilin dalam bilik itu. Apabila habis kerja nak tukar baju balik macam ini keadaannya,” kata Maya. Maya berkongsi perkara tersebut di Instagram miliknya. Pelakon filem Cun itu turut memuat naik foto menggambarkan keadaan bilik berkenaan berasap apabila seluar jeannya terbakar. Maya berkata, dia mendapat pengajaran berharga dalam kejadian itu. “Pengajarannya, jangan campak baju dekat lilin!” katanya. Foto tersebut turut mendapat perhatian netizen yang meminta aktres berkenaan lebih berhati-hati. Ada juga yang menganggap perkara itu sebagai sesuatu yang lucu namun boleh mengundang bahaya. “Tak tahu nak gelak atau nak kesian. Macam kesian tapi kelakar pula,” ujar netizen.