suria

Azza (Elite) tak menang tangan terima undangan selepas ‘Gegar Vaganza’

Azza (Elite) semakin sibuk dengan karier seni selepas program Gegar Vaganza berakhir. Foto Instagram @azzaelite

PELAKON dan penyanyi Azza memberitahu dia kini tidak menang tangan apabila menerima pelbagai tawaran semenjak dia bersama kumpulan Elite menyertai program Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Azza atau Nor Azzarima Zawari, 40, berkata, selain undangan lakonan dan nyanyian dia kini banyak menerima tawaran sebagai pengacara termasuk untuk program beli-belah Go Shop di Astro.

"Alhamdulillah, secara peribadinya rezeki memang murah semenjak GV berakhir sampai terpaksa menolak beberapa tawaran diberikan kerana jadual yang padat.

"Saya sendiri kadang-kadang tidak sangka juga impak program tersebut yang menaikkan kembali nama saya, Linda dan Sasha dalam industri seni.

Nama Elite kembali menjadi bualan peminat selepas mereka menyertai Gegar Vaganza.

"Sekarang saya memang sibuk dengan undangan sebagai pengacara festival, program hiburan selain sebagai hos tetap program Go Shop untuk tempoh setahun," katanya.

Azza ditemui di festival beli-belah Mood Repbulik yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sehingga 23 Disember ini.

Bercakap mengenai Elite, Azza berkata, mereka merancang untuk tampil dengan single terbaharu namun masih dalam proses pemilihan lagu sesuai daripada komposer.

Kata Azza, mereka tidak terburu-buru untuk melancarkan single tersebut kerana ingin memastikan hasilnya nanti adalah yang terbaik.

"Kami sering juga dapat undangan persembahan pentas dan paling penting single baru nanti kami ingin tampilkan kelainan dan sesuatu yang segar," ujarnya.

Azza, Elite

Artikel Lain