suria

Malang nasib Vicha, kad pengenalan tak dapat, RM12,000 lesap

Vicha mendedahkan dia ditipu oleh rakannya sendiri sehingga terpaksa menanggung kerugian RM12,000. Foto Instagram @vicha_barbie

PELAKON dan pelawak berasal dari Indonesia, Vicha mendedahkan dia mengalami kerugian sebanyak RM12,000 gara-gara ditipu rakan sendiri yang berjanji untuk membantunya dalam proses mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR).

Vicha atau Refika Novianti Faturohman, 30, berkata, dia pernah cuba membuat permohonan itu sebanyak tiga kali menerusi kenalannya itu namun selepas membuat pembayaran proses tersebut rakannya terus menghilangkan diri.

"Bukan seorang tetapi tiga orang kenalan saya yang kononnya mahu membantu saya dalam proses permohonan itu akhirnya menipu saya.

Vicha bersama tiga anak perempuannya.

"Selepas membayar sebahagian wang diminta mereka lenyap begitu sahaja... Mereka bukan orang asing tetapi rakan sendiri!

"Kalau diikutkan memang saya serik dan lebih rela memperbaharui visa daripada cuba mendapatkan MyPR," katanya.

Vicha ditemui pada festival beli-belah Mood Republik yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sehingga 23 Disember ini,  pada Jumaat.

Dalam pada itu, Vicha berkata, dia masih menyimpan hasrat untuk mendapatkan MyPR kerana mula cintakan Malaysia tambahan pula kariernya di sini.

Vicha sudah sembilan tahun mencipta nama di Malaysia.

"Sudah sembilan tahun saya menetap di Kuala Lumpur malah loghat bahasa Indonesia pun sudah tiada jadi saya fikir mengapa tidak saya membuat permohonan sebagai rakayat negara ini.

"Saya selesa di sini, bahagia mempunyai rakan-rakan yang ramai tambahan pula karier seni saya semuanya di sini," katanya.

Tambah Vicha, serik ditipu rakan sendiri, dia mengambil keputusan menguruskan sendiri permohonan tersebut namun mengakui ia bukan proses mudah.

"Impian saya bukan sahaja ingin mendapatkan MyPR tetapi bawa tiga anak saya tinggal bersama saya di Malaysia dan harap-harapnya cita-cita saya itu tercapai," ujarnya.

Vicha bersama dua lagi anggota kumpulan Masin.

Dalam perkembangan lain, Vicha yang sedang bertanding dalam program Maharaja Lawak Mega 2018 menerusi kumpulan Masin berkata, selain sibuk berlakon dia kini mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dan akan melancarkan jenama kosmetiknya tidak lama lagi.

Kata Vicha, kedatangan 2019 memberinya semangat baharu untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam bidang seni lakon dan perniagaan.

"Alhamdulillah segala usaha dan cabaran sebelum ini nampaknya mula menampakkan hasil... Tawaran berlakon memang banyak, ia rezeki tiga anak saya.

"Saya harap tahun hadapan karier saya lebih kukuh dengan lebih banyak kejayaan dan apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk keluarga saya di Indonesia," jelasnya.

Vicha

Artikel Lain