KUMPULAN terkenal Estranged mengambil keputusan untuk tidak menjual single terbaharu mereka yang berjudul Milikku menerusi platform digital sebaliknya menggunakan kaedah tradisional iaitu menjual dalam bentuk cakera padat (CD). Vokalis utamanya, Rich memberitahu membuat keputusan itu kerana ingin mengumpul dana bagi tujuan membantu pembangunan hydro elektrik di kawasan kampung pedalaman di Borneo menerusi hasil penjualan CD Milikku. "Lagu Milikku tidak boleh didapati di platform iTunes mahu pun Spotify kerana ia hanya akan dicetak di dalam bentuk CD dan kami akan jual ketika Estranged meneruskan jelajah Misi Elektrik Borneo 2019. "Dengan cara ini, penjualan secara fizikal Estranged akan dapat diteruskan di samping mengumpul dana untuk bantuan hydro elektrik di kawasan pedalaman di Borneo," katanya. Selain Rich, Estranged turut dianggotai oleh Hanafi dan Din. Single terbaharu Estranged Milikku hanya dijual dalam bentuk cakera padat. Bercakap lanjut mengenai perkara itu, Rich memberitahu sudah menjadi wawasan Estranged untuk membantu penduduk mendapat bekalan elektrik. Katanya, mereka menyasarkan untuk menyalurkan elektrik ke 20 hingga 40 buah kampung bergantung kepada jumlah jualan CD yang dapat dikumpulkan menerusi penjualan ketika persembahan mahupun di laman sosial. "Kami akan bekerjasama dengan rakan seperjuangan kami dari syarikat guaman Thomas Philip yang juga telah membantu dua buah kampung di Sabah dan akan meneruskan projek seterusnya di Ranau pada 2019," ujarnya. Dalam pada itu, Rich berkata, lagu itu ditulis bagi meraikan perasaan cinta dan kasih sayang dan mereka mendapat inspirasi menghasilkan Milikku ketika masing-masing berjauhan dari keluarga ekoran sibuk dengan jelajah Misi Elektrik Borneo sejak beberapa bulan lalu. Estranged kini sibuk dengan jelajah Misi Elektrik Borneo. Kata Rich, perasaan rindu dan ingin bersama keluarga tersayang menjadi sumber inspirasi kepadanya untuk menulis lirik lagu itu manakala melodinya ciptaan Estranged. “Selain itu, dalam keadaan dunia yang ramai kian tertekan dan murung, adalah penting untuk kita mengembalikan perasaan cinta sesama kita di antara keluarga, sahabat handai dan masyarakat... Kami percaya kuasa cinta boleh menyelesaikan pelbagai masalah,” jelasnya. Mesej lagu itu juga turut diterjemahkan dalam muzik videonya arahan Din Hormatov yang memaparkan tentang momen kasih sayang. "Tiaa sebarang lakonan... Semua adegan yang dirakam adalah organik dan berlaku tepat pada waktunya. "Kami mahukan saat dan momen kasih sayang yang ditayangkan itu adalah benar dan penonton serta peminat boleh menilaikan sendiri dan merasainya bersama," katanya.