JUARA Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee tidak pernah terfikir untuk menyertai pertandingan ratu cantik di luar negara kerana dia masih tahu batas sebagai seorang beragama Islam. Menurut, Haneesya Hanee atau mesra dipanggil Hanee, 18, dia hanya ingin mengembangkan lagi karier dalam bidang lakonan dan peragaan ke peringkat antarabangsa. "Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kemenangan ini. Perancangan selepas ini, saya mahu kembangkan lagi karier dalam industri. "Saya akan teruskan berlakon sebab minat ke arah itu. Saya tak kan berhenti dalam bidang peragaan dan Kalau ada rezeki, nak ke luar negara untuk banggakan Malaysia. Hanee dinobatkan sebagai Juara Dewi Remaja 2018/2019. "Untuk menyertai pertandingan ratu cantik antarabangsa susah sikit sebab kita Islam. Saya masih tahu batas dan ingat tuhan kalau nak buat sesuatu," katanya kepada mStar Online. Menepati ramalan, Hanee berjaya menewaskan empat finalis pertandinghan itu, Affie Rania, Anna Jobling, Tia Sarah dan Sherin Amiri di episod akhir pencarian Dewi Remaja 2018/2019 yang berlangsung di Visual Three Studio, Sri Kembangan pada malam, Ahad. Gelaran naib juara pula disandang oleh Tia Sarah dan peserta bernama Sherin Amiri pula berada di tempat ketiga. Manakala tempat keempat disandang oleh Anna Joblin dan tempat kelima dimenangi oleh Affie Rania. Selain itu, gelaran Dewi Favorite yang dipilih peminat menerusi laman web majalah Remaja disandang oleh Arena Iman. Tia Sarah (kiri) mendapat tempat kedua dan Sherin Amiri (kanan) ditempat ketiga. Peserta dari Kelantan, Aween Ismail yang terpaksa menarik diri kerana masalah kesihatan berjaya menyandang gelaran Dewi Inspirasi. Hadiah disampaikan oleh pemenang Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose, Datuk Hans Isaac dan Editor Remaja, Faiz Aiman. Pelakon dan penerbit Datuk Hans Isaac bertindak selaku ketua juri manakala juri jemputan ialah pengacara Datuk Aznil Nawawi dan alumni Dewi Remaja 2009/2010, Neelofa. Diacarakan oleh Scha Alyahya, pencarian Dewi Remaja 2018/2019 ditayangkan setiap Ahad, pukul 10.30 malam bermula 25 November 2018.