suria

Ebby Yus berangkat tunai Umrah atas tajaan seorang sahabat

Ebby Yus sudah dua tahun tidak bekerja.

PELAWAK Ebby Yus selamat berangkat ke Makkah bagi menunaikan ibadah Umrah pada Isnin bersama seorang sahabat.

Menurut pelawak itu, pemergian selama dua minggu dibiayai seorang sahabat prihatin yang mahu dirahsiakan namanya.

"Saya berharap sepanjang di Tanah Suci, saya mampu menjalankan ibadah dengan baik dan kembali semula ke Malaysia dengan selamat.

"Terima kasih kepada seluruh peminat yang mendoakan kesembuhan saya, juga kepada rakan-rakan artis,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat murah hati mahu derma buah pinggang buat Ebby Yus


Ebby terima sumbangan daripada  Datuk DJ Dave dari YKAT

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 55, sudah setahun tidak bekerja akibat jantung kembali lemah selain masalah buah pinggang bocor.

Sementara itu, bercakap tentang penyakitnya, pelawak itu berkata, dia merahsiakan penyakitnya berikutan enggan menyusahkan orang lain.

Bagaimanapun apabila setelah lebih setahun, saya tidak boleh berahsia lagi, kawan-kawan bercerita juga.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk DJ Dave dan kawan-kawan yang lain kerana sudi melawat saya dan saya amat menghargainya,” katanya yang menderita pelbagai penyakit kronik termasuk kencing manis dan masalah jantung.

Dalam pada itu, pengerusi yayasan itu, Datuk DJ Dave ketika melawatnya pada Isnin berkata, pihaknya dalam usaha membuat rundingan sebuah stesen televisyen bagi memberi peluang kepada artis yang uzur dan kurang berkemampuan untuk terlibat dalam program-program dianjurkan.

"Saya sudah bawa cadangan itu kepada menteri berkenaan dan sedang menunggu keputusan yang akan dibuat.

"Saya amat berharap melalui rancangan itu, kita boleh terus membantu artis-artis yang memerlukan kerana selama ini amat jarang sekali artis yang sudah tua dan uzur diberi peluang muncul dalam program TV. Kita ada cara untuk melakukannya,” kata DJ Dave.

Ebby Yus

Artikel Lain